Anda di sini

Sarawak akhirnya terima bayaran SST daripada Petronas esok

Advertisement
 

KUCHING: Usaha Sarawak untuk menuntut kembali haknya ke atas sumber-sumber minyak dan gasnya akan melakar kejayaan esok apabila Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dijadual menyerahkan cek bayaran Cukai Jualan Negeri (SST) kepada kerajaan negeri.

Berdasarkan surat jemputan media daripada Pejabat Ketua Menteri hari ini, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dijadual akan menerima cek bayaran tunggakan SST itu daripada Petronas pada satu majlis di Wisma Bapa Malaysia di sini, pukul  4 petang.

Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Kerajaan Persekutuan dan Negeri dan Pemantauan Projek Datuk Sharifah Hasidah Aman Ghazali ketika diminta mengulas mengenai perkara itu enggan mendedahkan jumlah bayaran SST yang akan dilakukan oleh Petronas esok.

Beliau berkata jumlah sebenar SST yang dibayar oleh Petronas sebaiknya diumumkan oleh Ketua Menteri.

Pada 13 September 2020, Sharifah Hasidah berkata Petronas dijangka membayar lebih RM2 bilion untuk cukai jualan dan perkhidmatan bagi produk minyak dan gas kepada kerajaan negeri pada hujung bulan ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semariang itu berkata jumlah keseluruhan SST yang perlu dijelaskan oleh Petronas kepada kerajaan negeri telah dikira namun jumlah itu seharusnya termasuk penalti dan faedah.

Pada Januari 2019, kerajaan negeri melaksanakan cukai jualan lima peratus ke atas petroleum di bawah Ordinan Cukai Jualan Negeri 1998, bagaimanapun syarikat minyak negara itu enggan membayar dengan alasan ia tidak berperlembagaan.

Rentetan itu, kerajaan negeri mengambil tindakan undang-undang ke atas Petronas.

Mahkamah Tinggi Kuching pada 13 Mac 2020 memutuskan Sabah dan Sarawak mempunyai hak di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk mengenakan cukai jualan ke atas produk-produk petroleum yang dikaut di negeri ini.

Sebelum itu, Petronas telah memfailkan rayuan di mahkamah bagaimanapun kerajaan negeri dan syarikat berkenaan mencapai persetujuan pada Mei tahun ini, kedua-dua pihak sepakat menarik balik tuntutan undang-undang ke atas satu sama lain.

Advertisement