Anda di sini

Pupuk perpaduan rakyat pelbagai etnik

Advertisement
 (Dari kiri) Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong, Datuk Wilfred Madius Tangau dan Datuk Christina Liew (kanan sekali) diikuti oleh Shafie, Juhar, isterinya Norlidah dan isteri Ketua Menteri Shuryani di hadapan kek perayaan untuk menandakan sambutan Hari Malaysia ke-57 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah.
POTONG KEK: (Dari kiri) Datuk Wilfred Madius Tangau dan Datuk Christina Liew (kanan sekali) diikuti oleh Shafie, Juhar, isterinya Norlidah dan isteri Ketua Menteri Shuryani di hadapan kek perayaan untuk menandakan sambutan Hari Malaysia ke-57 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal menyeru rakyat Sabah untuk memupuk perpaduan di kalangan masyarakat tanpa mengira agama, kaum dan sempadan daerah.

Beliau yang berucap ketika Majlis Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sabah di sini semalam, berkata ia adalah sambutan yang penting bagi rakyat Malaysia terutamanya kepada Sabah dan Sarawak.

Katanya, tarikh 16 September mengimbau sejarah pembentukan Malaysia di mana menjadi satu titik permulaan bagi wilayah Sabah dan Sarawak dilepaskan daripada penjajahan Jepun dan British.

Shafie mengingatkan pentingnya perpaduan yang kental untuk membina dan membangunkan negara Malaysia yang makmur.

Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sabah turut diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah R.M Jasni di samping Shafie serta isteri Datin Seri Panglima Shuryani Shuaib.

Sementara itu, bagi pasangan adik-beradik dari Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) Olivenie Kipli, 26, dan Maymall Frayneey Kipli, 22, berpendapat Hari Malaysia ialah pembebasan daripada penjajahan dan mengingati perjanjian yang telah termeterai dalam pembentukan negara Malaysia.

Kedua-dua adik-beradik yang berasal dari Ranau ini berkata, kepentingan menyambut Hari Malaysia adalah untuk rakyat Sabah terutamanya para belia mengingati sejarah pembentukan Malaysia dan memupuk semangat patriotisme dalam diri mereka.

Maymall berkata, Hari Malaysia akan membawa signifikasi dari satu generasi ke generasi berikutnya dan berharap agar belia masa kini serta akan datang untuk tidak hanya mengikuti budaya moden sebaliknya perlu sentiasa mengingati akar umbi dan mempraktikkan budaya mengikut etnik masing-masing.

Azmin Othman, 26, yang berasal dari Kota Belud dan juga artis budaya LKNS, berpendapat bahawa Hari Malaysia menunjukkan bahawa bukan sahaja rakyatnya merdeka tetapi juga dapat duduk dalam suasana yang harmoni dan aman.

Beliau berkata, amat penting bagi rakyat Malaysia terutamanya para belia untuk mengekalkan keharmonian dan jalinan silaturahim antara masyarakat yang berbilang etnik dengan cara mengenal serta mempelajari budaya sesuatu etnik melalui rakan-rakan yang ada.

Seorang lagi artis budaya LKNS Mohd Shamizal Francis, 25, yang berasal dari Tawau berkata, sambutan Hari Malaysia ialah hari untuk rakyat Sabah memperingati sejarah serta jasa tokoh-tokoh yang memperjuangkan kebebasan negeri Sabah dan untuk pelbagai etnik berkumpul meraikannya dalam satu acara.

Mohd Shamizal juga berkata, memperingati hari yang bersejarah ini perlu dipupuk sejak di bangku sekolah lagi dan guru memainkan peranan yang penting.

Selain itu, Shamizal juga berharap agar para belia cuba untuk mengetengahkan pelbagai budaya etnik Sabah berbanding budaya barat dan mengangkat budaya pelbagai etnik ini di peringkat antarabangsa.

  • oleh
  • Advertisement