Anda di sini

Pembantu AADK tidak mengaku minta rasuah RM500

Advertisement
 Tiga sekeluarga termasuk seorang pengarah bahagian sebuah jabatan kerajaan direman empat hari bermula semalam kerana disyaki menerima wang suapan bagi ‘mempercepatkan’ siasatan dan rayuan untuk mengurangkan kompaun terhadap pemilik-pemilik bot nelayan. — Gambar Bernama
DIREMAN: Tiga sekeluarga termasuk seorang pengarah bahagian sebuah jabatan kerajaan direman empat hari bermula semalam kerana disyaki menerima wang suapan bagi ‘mempercepatkan’ siasatan dan rayuan untuk mengurangkan kompaun terhadap pemilik-pemilik bot nelayan. — Gambar Bernama

KUANTAN: Seorang pembantu Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam, atas tuduhan cuba memperoleh rasuah sebanyak RM500, tahun lalu.

Bagaimanapun, G.Dayalan, 57, yang berkhidmat di pejabat AADK Kuantan, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 1 petang, 16 Feb 2019 di sebuah restoran di sini, dengan cuba memperoleh wang tersebut daripada seorang suspek lelaki, sebagai dorongan untuk mengeluarkan nama suspek daripada senarai dikehendaki AADK.

Sehubungan itu, beliau didakwa di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, Dayalan yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah mengurangkan jaminan RM10,000 yang ditawarkan pihak pendakwaan terhadapnya atas alasan faktor kewangan.

“Saya mohon jaminan dikurangkan serendah yang boleh, kerana anak saya masih belajar di sebuah kolej dan banyak menggunakan wang. Saya juga mempunyai masalah kesihatan,” katanya.

Siti Aminah membenarkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Okt ini untuk sebutan semula bagi tertuduh melantik peguam.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Siti Sarah Zainal Abiddin. — Bernama

Advertisement