Anda di sini

Parti-parti politik patuh SOP semasa kempen

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Calon dan penyokong parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah secara umumnya sudah mematuhi  prosedur operasi standard (SOP) pencegahan penularan pandemik COVID-19 yang ditetapkan kerajaan meskipun masih ada yang boleh diperbaiki.

Pemerhatian Bernama di beberapa lokasi kempen di kawasan pedalaman, Semporna, Tawau, Sandakan dan di sekitar Kota Kinabalu sendiri mendapati rata-rata calon, penyokong dan pengundi yang menghadiri aktiviti kempen pilihan raya seperti ceramah, patuh kepada SOP.

Antaranya memakai pelitup muka, melakukan penjarakan fizikal dan penggunaan cecair pembasmi kuman.

Malah, semasa majlis ceramah kempen PRN di kebanyakan tempat seperti di Sandakan, pengacara majlis dari semasa ke semasa mengingatkan hadirin agar sentiasa memakai pelitup muka, menjaga penjarakan sosial apabila melihat ada yang leka.

Sekiranya kawasan ceramah itu luas, parti-parti politik yang menganjurkan ceramah menyediakan alat pembesar suara untuk memastikan suara penceramah dapat didengar semua hadirin dan orang ramai tidak perlu berasak-asak di tempat ceramah.

Ada juga penganjur ceramah politik termasuk calon mengambil inisiatif menyediakan kemudahan QR Kod MySejahtera di kediaman masing-masing sekiranya ceramah dianjurkan di kawasan rumah seperti diamalkan parti-parti bertanding di Semporna.

Di Tawau pula kebanyakan penganjur kempen ceramah politik menyediakan peralatan mengukur suhu badan selain kemudahan menggunakan cecair pembasmi kuman untuk hadirin.

Amalan pematuhan SOP bagi mencegah penularan COVID-19 juga tetap dipraktikkan meskipun majlis ceramah atau aktiviti kempen lain diadakan pada waktu malam di kawasan kampung di pedalaman seperti Tambunan, Keningau dan Tenom meskipun tiada kelibat pihak berkuasa tempatan membuat pemantauan.

Bagaimanapun, masih ada pematuhan SOP yang perlu diperbaiki seperti sikap sesetengah individu yang meletakkan pelitup muka di dagu serta tidak melakukan penjarakan fizikal ketika menghadiri ceramah.

Selain itu, masih berlaku penyokong parti atau pengundi yang menerpa pemimpin atau calon untuk bersalaman ketika pemimpin atau calon berkenaan melawat kawasan mereka.

Kelmarin, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan menjalankan ujian saringan COVID-19 secara besar-besaran bagi penduduk daerah Lahad Datu, Tawau dan Kunak dalam tempoh terdekat.

Katanya saringan secara besar-besaran itu dijangka melibatkan antara 15,000 dan 20,000 individu di tiga daerah di kawasan pantai timur Sabah itu berikutan pengesanan berterusan kes positif COVID-19 selain kewujudan kluster baharu di Kunak yang dikenali sebagai Kluster Pulau berikutan pengesanan lapan kes baharu di daerah itu semalam.  

  • oleh
  • Advertisement