Anda di sini

Nilai transaksi Sarawak Pay cecah setengah bilion ringgit - Abg Johari

Advertisement
Abang Johari (tiga kanan) melakukan simbolik pelancaran Transaksi Tanpa Tunai Sarawak Pay dan Rangkaian Wifi sambil diperhatikan (dari kiri) Sim, Zaidi, Ting, Jaul dan Dr Annuar.
Abang Johari (tiga kanan) melakukan simbolik pelancaran Transaksi Tanpa Tunai Sarawak Pay dan Rangkaian Wifi Percuma di Pasar Sentral Sibu sambil diperhatikan (dari kiri) Sim, Zaidi, Ting, Jaul dan Dr Annuar.

SIBU: Aplikasi dompet elektronik atau e-dompet, Sarawak Pay mencatatkan 13,789,499 transaksi dengan nilai barang jual beli RM588,252,980 sejak mula dilancarkan November 2017.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata Sarawak Pay yang semakin popular masa kini dengan pengguna seramai 443,396 orang dan 64,254 peniaga berdaftar.

"Sarawak Pay mula dilancarkan pada November 2017. Baru tiga tahun dilancarkan, nilai transaksi melalui Sarawak Pay kini berjumlah setengah bilion.

"Daftar kitak Sarawak Pay, beli belacan, ikan masin bayar pakei ya. Sebagai contoh, mun kitak beli barang bernilai RM50, ada diskaun jadi RM45. Jadi ada untung RM5," jelasnya ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Transaksi Tanpa Tunai Sarawak Pay dan Rangkaian Wifi Percuma di Pasar Sentral Sibu di sini hari ini.

Abang Johari memberitahu jumlah pengguna Sarawak Pay kian meningkat ketika pelaksaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Semasa pandemik COVID-19, orang ramai hanya duduk di rumah sahaja. Ketika itulah mereka mula menggunakan Sarawak Pay untuk transaksi pembayaran dan jumlah pengguna Sarawak Pay juga meningkat," ujarnya.

Abang Johari berkata, Sarawak Pay merupakan satu inisiatif yang diperkenalkan untuk mentransformasikan negeri Sarawak ke arah ekonomi digital.

"Sarawak Pay adalah untuk memudahkan urusan pembelian dan pembayaran tanpa perlu membawa tunai yang banyak dalam dompet," jelasnya sambil menambah.

Sementara itu, Pasar Sentral Sibu merekodkan jumlah peniaga teramai yang menggunakan Sarawak Pay.

Abang Johari memberitahu cara baharu beri bantuan kepada masyarakat melalui Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) dengan masuk akaun Sarawak Pay membuktikan keberkesanan.

"Ramai yang berterima kasih kerana senang dapat bantuan melalui Sarawak Pay. Cara baharu ini memudahkan para penerima bantuan," katanya.

Hadir sama ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian; Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dr Annuar Rapaee; Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Amar Jaul Samion; Pengurus Besar Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) Dr Zaidi Razak dan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Clarence Ting.

  • oleh
  • Advertisement