Anda di sini

Majlis khas MA63 ditubuh pastikan hak Sabah, Sarawak terpelihara - PM

Advertisement
Tun Taib (kanan) bersama Muhyiddin (tengah) dan Abang Johari (kiri) mengibarkan Jalur Gemilang ketika menghadiri Majlis Sambutan Hari Malaysia di Stadium Tertutup Sibu hari ini. - Gambar Bernama 
Tun Taib (kanan) bersama Muhyiddin (tengah) dan Abang Johari (kiri) mengibarkan Jalur Gemilang ketika menghadiri Majlis Sambutan Hari Malaysia di Stadium Tertutup Sibu hari ini. - Gambar Bernama 

SIBU: Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 ditubuh bagi memastikan hak-hak bagi Sabah dan Sarawak seperti mana yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 adalah terpelihara, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut beliau, majlis itu yang diluluskan mesyuarat Jemaah Menteri pada 9 September lalu akan dipengerusikan oleh beliau sendiri dan dianggotai Ketua Menteri Sarawak dan Sabah.

Katanya, menteri-menteri persekutuan dan ahli-ahli lain akan dilantik mengikut kesesuaian, kelayakan dan bidang kepakaran masing-masing.

"Saya berharap agar penubuhan majlis khas ini akan dapat merungkaikan beberapa isu yang masih tertangguh berhubung hak dan kedudukan Sabah dan Sarawak selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan. 

"Yang penting ialah usaha-usaha untuk membangun dan memajukan kedua-dua negeri ini dapat diteruskan dan dipertingkatkan lagi dengan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri," katanya ketika berucap menyempurnakan sambutan Hari Malaysia di Stadium Tertutup Sibu, malam ini.

Acara itu dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud; Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg; Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah Datuk Aidi Mokhtar selaku wakil Ketua Menteri Sabah; Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah; dan Menteri Utiliti Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom.

Muhyiddin berkata majlis khas ini akan membincangkan isu-isu yang berkait dengan hak-hak Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam (MA63).

Antaranya ialah kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai Rakan Sekutu, hak negeri di bawah Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 dan Laporan Intergovernmental Committee, keselamatan negeri dan pendidikan. 

Beliau menambah, majlis khas itu akan dibantu oleh jawatankuasa sedia ada yang ditubuhkan di peringkat kementerian dan agensi persekutuan berdasarkan isu-isu berkaitan.

"Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sentiasa komited untuk memastikan hak-hak bagi Sabah dan Sarawak seperti mana yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 adalah terpelihara," tegasnya. 

Malah di peringkat awal pembentukan kabinet kerajaan PN katanya, beliau mewujudkan satu portfolio khusus mengenai Hal Ehwal Sabah dan Sarawak di Jabatan Perdana Menteri yang dipertanggungjawabkan kepada Menteri di-Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili.

"Saya hendak nyatakan di sini isu-isu yang dianggap sukar untuk diselesaikan boleh diselesaikan dengan baik apabila Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri sehaluan dan sehati sejiwa," katanya lagi.

Beliau turut menegaskan isu-isu yang dianggap sukar untuk diselesaikan boleh diselesaikan dengan baik apabila kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri sehaluan dan sehati sejiwa.

Muhyiddin turut memberikan contoh kejayaan rundingan Sarawak diketuai Abang Johari dan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) yang mencapai kata sepakat mengenai urusan minyak dan gas serta cukai jualan ke atas produk petroleum di Sarawak.

"Saya percaya apabila Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri sehaluan, yang untung ialah rakyat. Insya-Allah, rundingan dengan Sabah akan kita mulakan selepas Pilihan Raya Negeri Sabah," jelasnya lagi.

Selain itu, Perdana Menteri turut menyebut soal kedaulatan wilayah juga akan terus dipertahankan tanpa sebarang kompromi. 

Beliau menegaskan bahawa Sabah dan Sarawak akan terus kekal berada dalam Malaysia. 

"Kerajaan Persekutuan tidak akan tunduk kepada desakan mana-mana pihak yang cuba mempertikaikan kedaulatan negara kita," katanya lagi.

Bercakap mengenai Hari Malaysia, Muhyiddin menyeru rakyat negara ini agar menghayati dengan mendalam makna Hari Malaysia.

"Ini adalah hari kita membulatkan tekad, memperkukuhkan azam dan membugarkan semangat perpaduan seluruh rakyat dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang bersatu hati sebagai sebuah bangsa yang berjaya dan dihormati. 

"Jadikanlah tarikh 16 September ini sebagai titik pembaharuan semangat perpaduan kita demi membentuk sebuah negara yang bersatu, makmur dan bermaruah sejajar dengan matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030," jelasnya lagi.

Beliau berpendapat, perpaduan rakyat yang berbilang kaum, agama dan wilayah inilah yang menjadi tunjang kekuatan kita sebagai sebuah negara bangsa yang berjaya. 

Oleh itu, beliau mahu rakyat perkukuhkan perpaduan, pupuk kerjasama yang lebih erat dan tingkatkan integrasi. 

"Insya-Allah, dengan semangat perpaduan kaum dan integrasi nasional yang jitu, Malaysia yang kita cintai dan tumpahkan sepenuh taat setia ini akan terus berada di landasan yang kukuh untuk menempa lebih banyak kejayaan pada masa yang akan datang," tambah beliau lagi.
 

  • oleh
  • Advertisement