Anda di sini

Konvoi Kembara Vespa semai semangat patriotik belia luar bandar

Advertisement
Aidel melakukan acara pelepasan Konvoi Kembara Vespa sempena sambutan Hari Malaysia. - Gambar oleh Chimon Upon
Aidel melakukan acara pelepasan Konvoi Kembara Vespa sempena sambutan Hari Malaysia. - Gambar oleh Chimon Upon

KUCHING: Seramai 20 penunggang motosikal jenis Vespa mengambil bahagian dalam Konvoi Kembara Vespa sempena sambutan Hari Malaysia anjuran Kelab Skuter Besi Rider hari ini.

Acara pelepasan konvoi yang bermula seawal jam 7 pagi disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya Aidel Lariwoo di hadapan kedai Mom’s Laksa di Bulatan Temenggung Abang Kipali Abang Akip di sini.

Aidel yang ditemui berkata, konvoi itu bukan sahaja bertujuan untuk memeriahkan sambutan Hari Malaysia tahun ini malah sebagai manifestasi rasa kesyukuran rakyat atas penubuhan Malaysia yang sudah memasuki tahun ke-57.

“Kita sebagai rakyat Malaysia khususnya di Sarawak yang terdiri daripada berbilang kaum dan agama dapat bersama-sama meraikan Hari Malaysia dengan penuh kesyukuran serta berbangga hidup dalam negara yang harmoni.

“Justeru konvoi yang mengelilingi beberapa lokasi di negeri ini secara tidak langsung menyemarakkan rasa keterujaan kita meraikan Hari Malaysia,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mahu rakyat menghormati dan mengingati perjuangan pemimpin terdahulu serta meningkatkan semangat patriotisme dan rasa cinta kepada tanah air.

“Marilah kita sama-sama menghayati hari yang bersejarah ini selain menyemai jati diri menjadi warganegara Malaysia yang lebih progresif dan makmur,” katanya.

Sementara itu, Penyelia Program Kelab Skuter Besi Rider Ellfizan Paukan berkata, Konvoi Kembara Vespa akan menjelajah ke tiga lokasi iaitu Kuching, Sibu dan Bintulu.

“Hari ini kita akan bergerak dari Kuching ke Sibu bagi bersama-sama meraikan sambutan Hari Malaysia 2020 Peringkat Kebangsaan di sana nanti. Selepas di Sibu, kita akan menjelajah ke Bintulu pula dan kemudian balik semula ke Kuching pada Ahad ini.

“Kita akan menggunakan laluan pesisir selari dengan objektif konvoi yang bertujuan meningkatkan semangat patriotik dan rasa cintakan tanah air dalam kalangan penduduk terutama belia di luar bandar,” ujarnya.

Inilah yang ingin kita lakukan agar anak-anak muda di kawasan luar bandar turut serta meraikan Hari Malaysia biar pun dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), tambah Ellfizan.

Advertisement