Anda di sini

KKMM komited pertingkatkan jaringan Internet

Advertisement
 Saifuddin (tiga kanan) bersama Tuai Rumah Akat memacak Jalur Gemilang sebagai simbolik perasmian Program Merdeka@Komuniti di Rumah Akat Akong, Penasu, Sibu, semalam.
MANTAPKAN JARINGAN: Saifuddin (tiga kanan) bersama Tuai Rumah Akat memacak Jalur Gemilang sebagai simbolik perasmian Program Merdeka@Komuniti di Rumah Akat Akong, Penasu, Sibu, semalam.

SIBU: Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) komited untuk mempertingkatkan jaringan Internet di seluruh negara dengan memastikan kawasan yang mempunyai penduduk mempunyai capaian Internet sekurang-kurangnya 4G.

Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kerajaan memahami akan kepentingan capaian Internat yang baik kepada rakyat dan sedang berusaha mempertingkatkannya dari semasa ke semasa.

“Pada bulan Ogos yang lalu, Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) telah mengumumkan Pelan Jalinan Digital Negara atau dikenali sebagai JENDELA.

“Ia (pelan) terbahagi kepada dua fasa di mana fasa pertama iaitu sekarang sehingga akhir tahun depan, pada waktu itu kita ingin memastikan sekurang-kurangnya setiap tempat yang ada penduduk mempunyai liputan Internet 4G.

“Kemudian, dari 2022, kita akan memperkenalkan capaian Internet 5G. Ini adalah fokus kita,” katanya semasa berucap merasmikan Program Merdeka@Komuniti di Rumah Akat Akong, Penasu dekat sini, petang semalam.

Hadir bersama Ketua Setiausaha KKMM Datuk Suriani Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha KKMM Shakib Ahmad Shakir, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Datuk Sukari Abdul Hamid, Timbalan Ketua Pengarah (Kandungan Digital) JAPEN Hashim Bedu dan Pengarah Penerangan Negeri Sarawak Swady Guliling.

Sehubungan itu kata Saifuddin, kementeriannya juga sedang bekerjasama rapat dengan Kerajaan Sarawak dalam usaha merealisasikan usaha tersebut.

Beliau memberitahu, sebaik dilantik mengetuai kementerian tersebut beliau telah menulis surat kepada Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg agar menghantar seorang wakil untuk menjadi ahli Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia di peringkat persekutuan.

“Wakil tersebut telah dihantar dan Ketua Menteri Sarawak juga bersetuju supaya SKMM turut menghantar wakil ke Lembaga Multimedia Sarawak (SMA).

“Jadi, saya yakin kerjasama ini dapat mengeratkan hubungan kerajaan persekutuan dengan Kerajaan Negeri Sarawak,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin turut meluluskan peruntukan sebanyak RM10,000 kepada Rumah Akat Akong.

  • oleh
  • Advertisement