Anda di sini

Kapit perlu dua lagi stesen telemetri

Advertisement
Philimon (dua kiri) menceritakan pengalamannya kepada Wilson Nyambong dan Uggah. Turut kelihatan, Alexander (kiri).
Philimon (dua kiri) menceritakan pengalamannya kepada Wilson Nyambong dan Uggah. Turut kelihatan, Alexander (kiri).

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) akan berbincang dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak mengenai keperluan menubuhkan dua lagi stesen telemetri untuk Bahagian Kapit.

Pengerusi JPBNS Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, stesen baharu tersebut akan diletakkan di Nanga Tulie dan Nanga Mujong.

Katanya, Kapit setakat ini mempunyai 11 stesen telemetri, daripada jumlah keseluruhan 500 di Sarawak.

"Ini adalah penting untuk mengukur jumlah taburan hujan dan paras air sungai. Ia juga bertindak sebagai sistem amaran awal banjir," katanya selepas mendengar taklimat keadaan banjir di Kapit daripada Timbalan Residen Kapit Galong Luang semasa lawatan di Kapit, hari ini.

Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri kemudian melawat 84 mangsa banjir di pusat pemindahan sementara di Stadium Tertutup Kapit yang menempatkan 78 mangsa banjir dari Rh Philimon, Nanga Bawai dan tiga dari Kampung Muhibah serta selebihnya dari Kampung Baru.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus Wilson Nyambong Ijang, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Ik Pahon Joyik dan Setiausaha Tetap Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah (MANRED) Sarawak Edwin Abit.

Dalam pada itu, Uggah mengatakan stesen telemetri di Song akan dilengkapi dengan bateri baharu untuk membolehkannya beroperasi.

Tambah Uggah, sekiranya orang ramai dapat diberi amaran lebih awal mengenai kemungkinan berlakunya banjir, mereka dapat membuat persiapan awal.

“Ia juga akan meminimumkan kehilangan atau kerosakan harta benda dan memberi amaran berhubung keperluan untuk berpindah ke tempat atau pusat pemindahan yang lebih tinggi,” jelas beliau lagi.

Mengulas lanjut mengenai keadaan banjir, Uggah mengatakan keadaan bertambah baik berikutan air semakin surut.

Beliau dalam pada itu, memuji tindakan Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat bahagian Kapit yang telah menangani situasi dengan cemerlang serta memberikan layanan baik kepada mangsa banjir yang terjejas. 

"Saya dimaklumkan bahawa pusat pemindahan sementara (stadium) sudah dibersihkan terlebih dahulu sebelum mangsa banjir pindah masuk ke sana, memandangkan terdapat ancaman pandemik COVID-19.

“Malah, kawasan sekitar stadium juga telah disembur dengan racun serangga untuk membasmi nyamuk,” katanya.

Beliau turut memuji usaha pihak jawatankuasa yang membekalkan susu bayi formula pilihan ibu bapa dan bukannya menawarkan satu jenama sahaja.

Sementara itu, Uggah memaklumkan yang Jabatan Kebajikan, ADUN Bukit Goram Jefferson Jamit, Wilson Nyambong, Tabung Baitulmal dan beberapa pihak yang lain telah memberikan respon pantas kepada mangsa banjir, selain bomba, Jabatan Sukarelawan Malaysia, dan Pejabat Daerah.

“Ini adalah prosedur operasi standard (SOP) pihak kami dan kami bersimpati dengan keadaan mangsa. Justeru, bagi pihak kerajaan negeri saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat,” katanya.

Dalam pada itu, Nanta memaklumkan yang pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna di sini juga akan menawarkan makanan kepada mangsa.

  • oleh
  • Advertisement