Anda di sini

Jalan hubungkan Kampung Sungai Rama-Kampung Mambai siap sepenuhnya

Advertisement
Julaihi memotong reben sebagai simbolik perasmian jalan baharu.
Julaihi memotong reben sebagai simbolik perasmian jalan baharu.


 
KUCHING: Projek pembinaan jalan raya sepanjang 2,190 meter yang menghubungkan Kampung Sungai Rama dan Kampung Mambai kini siap sepenuhnya untuk kegunaan ramai.

Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Julaihi Narawi berkata, projek dibiayai kerajaan negeri bernilai RM2.2 juta itu dibina melalui tiga peringkat.

Pembinaan jalan itu katanya, menunjukkan kerajaan negeri Sarawak akan terus memberi fokus terhadap pembangunan infrastruktur diluar bandar.

"Di bawah kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS), kita dapat menyaksikan banyak projek pembangunan infrastuktur seperti pembinaan jalan, jambatan, bekalan api dan air, sekolah, gelanggang futsal dan pelbagai keperluan lain diberi fokus oleh pihak kerajaan," ujar beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

Julaihi turut menekankan pembangunan yang dibuat oleh kerajaan GPS di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bukanlah omong kosong berikutan pemimpin GPS amat memahami keperluan masyarakat di luar bandar.

Dalam majlis yang sama Julaihi juga mengumumkan geran sebanyak RM5,000, masing-masing untuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Mambai dan JKKK Sungai Rama.

Turut hadir Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kecil Sebuyau, Ajis Ahmad, Tuai Rumah Kampung Mambai Aden Teruki, Tuai Rumah Kampung Sungai Rama Munsang Jeti, Penghulu Agu Kaleng, Penghulu Merum Babu serta pemimpin-pemimpin tempatan dari sekitar Sebuyau.

Advertisement