Anda di sini

Genap seminggu tanpa kes baharu COVID-19 di Sarawak 

Statistik JPBNS
Statistik JPBNS

KUCHING: Masih terdapat satu kluster COVID-19 masih aktif di Sarawak setakat ini meskipun tiada kes positif baharu dilaporkan untuk tujuh hari berturut-turut sejak 10 September 2020.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam kenyataan berkata hari ini tiada kes positif baharu dilaporkan menjadikan jumlah kes kekal 700 setakat ini.

"Kluster COVID-19 yang masih aktif ialah Kluster Alam di Bintulu dan jumlah kes positif kekal lapan. Kesemua kes yang di dalam kluster ini juga telah pulih dan dibenarkan discaj dari hospital," jelas JPBNS.

JPBNS juga memaklumkan dua kes baru pulih dan dibenarkan discaj iaitu masing-masing satu dari Hospital Bintulu dan Hospital Miri hari ini.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 yang telah pulih dan dibenarkan discaj setakat ini meningkat kepada 680 atau 97.14 peratus.

"Jumlah kes yang masih mendapat rawatan dan diasingkan di hospital ketika ini hanya satu iaitu di Hospital Sibu.

"Jumlah kematian akibat COVID-19 di Sarawak juga kekal 19 orang atau 2.7 peratus...Hari ini 21 kes orang disyaki (PUI) dilaporkan, dua masih menunggu ujian makmal," kata JPBNS.

Dalam perkembangan berkaitan, JPBNS berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan dua notis kompaun iaitu satu masing-masing di Bau dan Sarikei kerana tidak mematuhi garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Sementara itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) telah mengeluarkan 141 amaran lisan, bertulis dan sitaan di kawasan selian masing-masing iaitu 45 di kawasan Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Lembaga Pembangunan Bintulu (39), Majlis Daerah Marudi (34), Majlis Daerah Serian (lima), Majlis Perbandaran Kota Samarahan (tiga), Majlis Bandaraya Miri (dua) dan Majlis Daerah Sarikei (satu).

"Hari ini 1,608 premis dipantau iaitu pasar raya (168), restoran (289), kilang (22), bank (103), pejabat kerajaan (58), penjaja (41), pasar tani/awam (62), tempat ibadat (159), tempat riadah (40), tapak pembinaan (19 dan lain-lain (647).

"Hari ini juga 824 kenderaan diperiksa dalam enam sekatan jalan raya sempena Op Benteng. Sekatan-sekatan ini diadakan di Lundu (dua), Serian, Sri Aman dan Lubok Antu masing-masing satu," tambah JPBNS.

Advertisement