Anda di sini

Bung temui jentera BN DUN Sukau bagi pastikan kemenangan Jafry

Advertisement
 Bung Moktar berucap di Kampung Bilit. Turut kelihatan Jafry (kiri), Timbalan Ketua BERSATU Bahagian Kinabatangan Azman Mastar (dua kiri) dan mantan ADUN Sukau Datuk Zaki Gusmiah.
BERJUANG: Bung Moktar berucap di Kampung Bilit. Turut kelihatan Jafry (kiri), Timbalan Ketua BERSATU Bahagian Kinabatangan Azman Mastar (dua kiri) dan mantan ADUN Sukau Datuk Zaki Gusmiah.

KINABATANGAN: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Dato’ Sri Bung Moktar Radin turun berkempen membantu calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Sukau Datuk Jafry Ariffin di kampung halamannya, Kampung Bilit dan dua kampung lagi dalam memastikan kemenangan BN menjelang pengundian 26 September ini.

Pengerusi UMNO Negeri Sabah itu telah masuk hari kedua membantu berkempen untuk calon-calon BN selepas Hazulizah Mohd Dani (BN DUN Sekong) di Kampung Bakau Batu Sapi dan tiga calon lagi di Libaran, Suhaimi Haji Nasir (BN DUN Gum-Gum), Mokran Ingkat (BN DUN Sungai Manila) dan Mohd Hamsan Haji Awang Supain (BN DUN Sungai Sibuga).

 

Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan telah turun berkempen di kampung halamannya (Bilit) dan dua kampung lagi iaitu Sukau dan Suan Lamba, adalah untuk menyuntik semangat serta memastikan jentera pilihan raya BN di kawasan itu beri kemenangan kepada Bendahari UMNO Sabah itu (Jafry).       

"Saya turun ke DUN Sukau ini adalah untuk memberi keyakinan kepada jentera-jentera BN dan pengundi di tiga kampung ini," katanya.

Beliau berkata, calon yang dipilih BN di DUN Sukau (Jafry) merupakan seorang pemimpin yang mesra dan berjiwa rakyat.

"Dia (Jafry) adalah wakil saya di kawasan DUN Sukau ini, dia lagi hebat dari saya. Kita jangan pertikaikan mengapa Datuk Jafry bertanding di Sukau bukan saya?...saya mahu semua jentera beri kemenangan terhadap calon kita ini," katanya.  

Bung Moktar percaya Jafry adalah pemimpin yang mampu menggalas tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat kelak yang mana akan jadi 'pemandu rakyat' bagi merealisasikan kehendak rakyat di kawasan DUN Sukau.

Beliau juga yakin BN akan diberi kemenangan oleh rakyat berdasarkan pembangunan dan kebajikan rakyat sebelum ini dilaksanakan berbanding kerajaan hari ini yang gagal menunaikan janji kepada rakyat.

"Rakyat telah memerhati langkah dan tindak-tanduk Kerajaan WARISAN Plus dan PH. Mereka tabur janji bermacam-macam dan gagal tunaikan untuk rakyat, akhirnya tumbang dan bubar DUN," katanya.   

Dalam pada itu, Bung Moktar mengingatkan semua jentera BN di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) agar menyelesaikan tanggungjawab bagi mengesan dan kenal pasti pengundi.

"Saya beri tempoh sehingga 17 September ini kepada semua jentera PDM, saya sendiri akan memeriksa laporan di setiap PDM," tegasnya.

Beliau yang bertanding di DUN Lamag, mengingatkan pengundi agar tidak mudah terpengaruh dengan janji-janji kosong yang ditaburkan oleh Parti Warisan Sabah dan calon Bebas yang bertanding.

  • oleh
  • Advertisement