Anda di sini

BN kembalikan semula peruntukan RM1 bilion sektor pendidikan jika diberi mandat

Advertisement
 Ahmad Zahid ketika berucap dalam kempen PRN Sabah di PDM Balung.
KEMPEN: Ahmad Zahid ketika berucap dalam kempen PRN Sabah di PDM Balung.

TAWAU: Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan rakan sekutunya akan mengembalikan semula peruntukan RM1 bilion untuk sektor pendidikan bagi menaiktaraf sekolah uzur di Sabah sekiranya diberi mandat menerajui kepimpinan Sabah.

Pengerusinya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, semasa BN mentadbir, peruntukan itu sudah dilaksanakan di Sabah dan Sarawak, tetapi apabila kita tidak dapat bentuk kerajaan maka peruntukan itu ditarik serta dikecilkan.

"Selain itu di bawah kerajaan BN juga isu guru berduka lara turut diberi perhatian sewajarnya dengan memudahkan urusan pertukaran dan memberi peluang kepada anak Sabah untuk mengajar di negeri ini," katanya.

 

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Penduduk di PDM Balung, kelmarin.

Katanya, pihaknya turut memberi jaminan supaya 29 jawatan utama kerajaan Sabah diberikan secara sama rata kepada anak Sabah mengikut kelayakan, kekanan dan pengalaman dimiliki.

"Jawatan utama agensi kerajaan di negeri ini juga akan diserahkan kepada penjawat awam yang selayaknya mengikut kekanan dan bukan atas lantikan daripada daerah tertentu sahaja.

"Ketika ini jawatan utama di agensi kerajaan atau jabatan tidak diberikan secara sama rata kepada anak Sabah mengikut kelayakan, pengalaman serta kekananan tetapi hanya daripada satu daerah sahaja," katanya.

Ahmad Zahid menegaskan keadaan itu tidak adil untuk rakyat Sabah, oleh kerana pegawai yang tidak cukup pengalaman, tidak cukup kekanan maka jabatan atau kementerian atau agensi itu tidak dapat dibangunkan sesuai dengan kehendak rakyat secara keseluruhan.

"Oleh itu, melalui sistem pendidikan akan dilihat dan dikaji semula, jika kerajaan BN memerintah semula Sabah kita akan usahakan untuk menaikan pangkat pada orang-orang yang layak agar dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat," katanya.

Turut hadir pemimpin BN Pusat termasuk Tan Sri Annuar Musa, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah serta pemimpin UMNO Bahagian Tawau, Ghazali Ansing dan calon BN DUN Balung Hamild@Hamid Awang.

  • oleh
  • Advertisement