Anda di sini

Banjir: 25 keluarga masih di pusat pemindahan di Kapit 

Advertisement
 

KUCHING: Sebanyak 25 keluarga masih ditempatkan di Pusat Pemindahan banjir di Stadium Tertutup Kapit susulan hujan lebat yang menyebabkan kawasan kediaman mereka dinaiki air sejak malam Selasa.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata 25 keluarga tersebut terdiri daripada 84 orang mangsa dari daerah Kapit.

Menurutnya, kesemua mangsa hanya akan dibenarkan pulang selepas keadaan di kediaman masing-masing disahkan benar-benar selamat.

"Setakat jam 4 petang hari ini, hanya tinggal satu lagi pusat pemindahan dibuka iaitu di Stadium Tertutup Kapit yang menempatkan seramai 84 mangsa yang rumah mereka dinaiki air.

"Manakala Pusat Pemindahan Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Embuau ditutup secara rasmi pada jam 12 tengah hari dan semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas paras air surut," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, beberapa lokasi di sepanjang Sungai Belaga juga dilaporkan terjejas berikutan hujan tanpa henti selama dua hari.

Kawasan yang terjejas adalah SK Long Urun, Uma Pawa, Uma Kulit, Sungai Asap, Uma Sambop dan Long Semutut.

Di Telang Usan, beberapa lokasi termasuk rumah panjang dan kampung juga terjejas.

Bagaimanapun, menurut laporan setakat jam 10 pagi tadi, dari Pegawai Pertahanan Awam Daerah Miri, Kapten Usman Harto, tidak ada pemindahan dilakukan di 10 lokasi yang terjejas.

Beberapa lokasi di Marudi, Beluru dan Subis juga terjejas.

Di Marudi dan Beluru, lokasi yang terjejas adalah beberapa sekolah, rumah panjang, kampung, Klinik Ulu Teru, dan pasar lama Lubok Nibong.

Di Subis hanya satu rumah panjang yang terjejas iaitu Rumah Akit Anggat 45 pintu, Nanga Mejam berhampiran Sungai Merusa di Suai Niah dan menurut laporan Kapten Usman, hanya jalan utama masuk ke rumah panjang yang dinaiki air sedalam tiga kaki.

  • oleh
  • Advertisement