Anda di sini

Aku Janji GRS, komitmen luar biasa untuk rakyat Sabah

 Muhyiddin (tengah) bersama pemimpin dari parti-parti di bawah GRS menunjukkan dokumen Aku Janji GRS sempena PRN Sabah.
AKU JANJI: Muhyiddin (tengah) bersama pemimpin dari parti-parti di bawah GRS menunjukkan dokumen Aku Janji GRS sempena PRN Sabah.

KOTA KINABALU: Aku Janji Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tawar komitmen menyeluruh untuk mengangkat darjat dan martabat rakyat Sabah.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia juga satu komitmen luar biasa kerajaan Persekutuan kepada rakyat di negeri ini terutama dalam menghadapi situasi sukar disebabkan pandemik COVID-19.

Menurutnya, musibah besar yang dibawa COVID-19 memerlukan usaha yang luar biasa untuk membantu rakyat Sabah dalam menghadapi kesusahan hidup akibat daripada pandemik berkenaan.

"Komitmen yang kita ada hari ini kepada rakyat Sabah bukan komitmen biasa, ini adalah komitmen luar biasa.

"Situasi yang dihadapi rakyat agak sukar dan ia tidak pernah berlaku sebelum ini. Justeru, setakat tawar perkara biasa, itu sudah biasa kita lakukan dalam pilihan raya sebelum ini.

"Perikatan Nasional (PN) apabila membentuk kerajaan Persekutuan, ia memerlukan kita bertindak dalam keadaan luar biasa untuk melindungi rakyat dari pandemik COVID-19," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis Pelancaran Aku Janji Barisan Nasional (BN), PN dan Parti Bersatu Sabah (PBS) di bawah GRS bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16 di sini semalam.

Muhyiddin berkata, walapun baharu membentuk kerajaan, pihaknya terpaksa mengambil tindakan tegas dan berani demi membuktikan kemampuan kerajaan untuk membantu rakyat.

Katanya, kesan dari masalah keruntuhan ekonomi negara juga luar biasa dan Sabah antara negeri yang paling teruk terjejas.

Sehubungan itu katanya, dengan membentuk kerajaan negeri ia bukan usaha yang boleh menyelesaikan semua masalah.

"Tetapi, sokongan rapat dan intim di antara kerajaan negeri dan Persekutuan amat diperlukan dan ia tidak boleh dielakkan.

"Sewajarnya di Sabah kita bentuk GRS supaya permasalahan besar yang dihadapi rakyat Sabah kita sama-sama bantu," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, kerajaan Persekutuan turut memberi keutamaan dengan apa yang termaktub secara hitam putih sebagai hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Katanya, satu pengumuman yang lebih terperinci berhubung MA63 akan dibuat sempena majlis Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan di Sarawak.

Advertisement