Anda di sini

Agenda PCS perjuangkan Sabah lebih tulen, kata Pang

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Parti Cinta Sabah (PCS) disifatkan lebih tulen memperjuangkan agenda Sabahan kerana ditunjangi sepenuhnya anak Sabah serta bertanding semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Timbalan Presiden PCS Datuk Pang Yuk Ming berkata, hala tuju parti itu sendiri adalah bertunjangkan agenda untuk menyelamatkan Sabah dan mendapatkan hak-hak Sabahan.

"Berbeza dengan parti lain, kesatuan kita dianggotai anak-anak tempatan sepenuhnya sebagai peneraju dan ahli dalam satu payung parti, tanpa penglibatan parti dari luar.

PANG
PANG

"Jika berjaya membentuk kerajaan negeri pada PRN ini, hala tuju PCS jelas iaitu kita sedia menjalin kerjasama dan membina hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan.

"Kita percaya pentadbiran kerajaan negeri dapat diuruskan dengan baik dengan adanya kerjasama Kerajaan Pesekutuan,” katanya, kepada Utusan Borneo, di sini, semalam.

Pang berkata, perjuangan mereka juga adalah untuk mendapatkan semula persefahaman Perjanjian Malaysia 1963 yang sudah dipersetujui pemimpin-pemimpin terdahulu.

Menyentuh pencalonannya di DUN Api-Api, beliau yang pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merotai berkata perkara itu diputuskan bersama pucuk pimpinan parti.

"Sebagai orang yang berpengalaman selama dua penggal di kawasan majoriti Bumiputera, saya berkeyakinan penuh mampu menjaga Api-Api mengikut acuan aspirasi warganya.

"DUN ini mempunyai pengundi Cina kira-kira 43 peratus (%) dan pengundi bumiputera pula 47%, yang secara tidak langsung menunjukkan kemajmukan penduduknya.

"Kita tidak boleh mengutamakan kaum tertentu sahaja, tetapi perlu memberi perhatian menyeluruh serta mengambil kira kepentingan agama, kaum dan budaya warga," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata Kota Kinabalu bandar terpenting di Sabah dan penyertaan merebut kerusi di Api-Api membayangkan kesungguhan PCS mentadbir negeri ini.

Menurutnya, PCS mahu menubuhkan kerajaan negeri dan misi menawan ibu negeri menjadi keutamaan dalam usaha menanam bendera parti itu di hati orang Sabah.

"Saya percaya dengan rekod perkhidmatan yang sudah ditunjukkan, saya adalah orang yang paling sesuai dan memahami suasana Api-Api serta keperluan warganya," katanya.

  • oleh
  • Advertisement