Anda di sini

Ada kejohanan sebelum The Championship legakan Yatim

YATIM
YATIM

KOTA KINABALU: Atlet sukan lasak kebangsaan Sabah, Yatim Zainal Abidin kini ada harapan membuat persiapan lebih baik bagi menghadapi kejohanan triathlon dunia, The Championship di Samorin, Slovakia tahun depan.

Sebelum ini, Yatim mengeluh kerana persiapannya bagi menghadapi kejohanan berprestij yang dijadualkan pada 22-23 Mei 2021 itu mungkin tanpa sebarang pertandingan lain sebagai pemanas badan ekoran krisis pandemik COVID-19.

Bagaimanapun, kemungkinan akan ada dua pertandingan bakal berlangsung sebelum kejohanan dunia tersebut memberi harapan baik buat Yatim.

"Belum pasti lagi tetapi akan ada dua perlumbaan Half Ironman iaitu di Filipina pada Mac dan Vietnam pada awal Mei tahun depan.

"Jika semuanya berjalan lancar dan situasi (krisis COVID-19) juga semakin membaik, saya sangat berharap dapat bertanding dalam kedua-dua perlumbaan itu.

"Ia akan menjadi dorongan besar dalam persiapan saya menghadapi cabaran The Championship," kata Yatim ketika dihubungi di sini malam semalam.
 
Katanya, buat masa ini, beliau akan terus fokus kepada latihan dua sesi seharinya.

Yatim kembali menjalani latihan sepenuh masa sejak Mei lalu selepas dua bulan sebelumnya  terjejas disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan bermula 18 Mac lalu dalam usaha membendung penularan COVID-19 di negara ini.

"Latihan saya kini memasuki fasa menguatkan fizikal. Saya akan terus bekerja keras dalam latihan untuk terus berada ditahap terbaik.

"The Championship adalah kejohanan triathlon dunia terbesar yang saya impikan untuk sertai. Sebab itu saya benar-benar fokus dalam persiapan," kata atlet berusia 44 tahun itu.

The Championship pada awalnya dijadualkan berlangsung pada 31 Mei tahun ini tetapi ditunda disebabkan krisis COVID-19 yang telah melanda seluruh dunia.

Pada mulanya, ia ditunda ke 16 Ogos 2020 tetapi penganjur kemudiannya memutuskan untuk hanya menganjurkannya pada 22-23 Mei 2021.

Yatim layak ke kejohanan dunia itu selepas menduduki tempat keempat kategori kumpulan umur 40-44 tahun lelaki di edisi keempat Cabaran Iskandar Puteri, Johor pada November tahun lalu.

Sambil itu, Yatim berharap akan ada pihak tampil membantunya dengan sumbangan tajaan untuk persiapan dan penyertaan pada kejohanan itu.

Advertisement