Anda di sini

128 mangsa banjir ditempatkan di pusat pemindahan 

Uggah (tiga kiri) dan Nanta (dua kiri) sedang mendengar taklimat mengenai masalah banjir di Kapit.
Uggah (tiga kiri) dan Nanta (dua kiri) sedang mendengar taklimat mengenai masalah banjir di Kapit.

KAPIT: Seramai 128 mangsa banjir ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di bahagian ini dan daerah Song.

Pusat Gerakan Operasi Bomba berkata, setakat ini hanya dua PPS dibuka di negeri ini iaitu di Stadium Kapit dan SK Nanga Embuau, Song.

"Di PPS Stadium Kapit, seramai 84 mangsa dari 25 keluarga. Kesemua mangsa adalah dari Rumah Philimon, Asal Bawai; Kampung Muhibbah dan Kampung Baru, Kapit.

"Manakala di daerah Song jumlah keseluruhan mangsa ditempatkan di PPS SK Nanga Embuau seramai 44 orang dari 15 keluarga. Kesemua mangsa adalah dari Rumah Kulleh, Nanga Embuau," ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas turut melawat mangsa-mangsa banjir di Stadium Kapit, hari ini.

Beliau turut diiringi oleh Ahli Parlimen Kapit Datuk Alexander Nanta Linggi.

Pada lawatannya itu, beliau turut diberi penerangan terperinci mengenai masalah banjir di bahagian ini dan butiran mangsa-mangsa yang terlibat.

Advertisement