Anda di sini

Unit khas ditubuhkan urus, selia bantuan kewangan untuk sekolah rendah bantuan Cina di Sarawak

Advertisement
Abang Johari menyingkap tirai plak perasmian SJK Chung Hua Bako. Turut kelihatan (dari kanan) Chan, Dr sim, dan Chai. - Gambar oleh Roystein Emmor
Abang Johari menyingkap tirai plak perasmian SJK Chung Hua Bako. Turut kelihatan (dari kanan) Chan, Dr sim, dan Chai. - Gambar oleh Roystein Emmor

KOTA SAMARAHAN: Unit khas ditubuhkan bagi menyelaras dan mengurus bantuan kewangan yang diperuntukkan oleh kerajaan negeri untuk sekolah rendah bantuan Cina di Sarawak.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata penubuhan unit berkenaan yang diketuai Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian membolehkan kerajaan negeri menentukan anggaran belanjawan diperuntukkan kepada sekolah-sekolah rendah bantuan Cina di negeri ini.

Menurutnya ketika ini, kerajaan negeri menerima banyak permohonan bantuan kewangan daripada lembaga pengurusan sekolah-sekolah rendah bantuan Cina tetapi tidak diselaras sebaiknya.

"Oleh itu, kita memutuskan untuk menubuhkan unit khas ini di bawah Dato Sri Dr Sim Kui Hia yang berperanan menyelaras dan menyelia bantuan kewangan daripada kerajaan negeri disalurkan kepada sekolah-sekolah Cina.

"Menerusi unit ini, kita (kerajaan negeri) boleh memberi bantuan kewangan secara konsisten kepada sekolah-sekolah Cina setiap tahun," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Bako di sini hari ini.

Abang Johari berkata RM17 juta dalam bentuk dana pendidikan diperuntukkan kepada sekolah-sekolah Cina di Sarawak untuk tahun ini dengan RM9 juta disalurkan kepada sekolah persendirian Cina manakala RM8 juta lagi untuk sekolah-sekolah rendah bantuan Cina.

Beliau berkata peruntukan berkenaan perlu diurus dengan betul menerusi badan khas yang menyelaras pembangunan sekolah-sekolah Cina di negeri ini.

"Sekolah Cina di Sarawak khasnya kini mempunyai ramai pelbagai yang pelbagai kaum, daripada 60,000 pelajar, 20,000 adalah pelajar Bumiputera," katanya.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Abang Johari berkata kerajaan negeri di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa berusaha menyediakan fasiliti dan sistem pendidikan terbaik untuk rakyat Sarawak.

Beliau berkata ini kerana kerajaan negeri merasakan pendidikan sangat penting tanpa mengambil kira kaum dan agama.

"Sama ada kita Melayu, Iban, Orang Ulu, Bidayuh dan sebagainya, dari mula anak kita lahir ke dunia, kita mahu anak-anak kita bersekolah kerana pendidikan sangat penting.

"Dalam aspek pendidikan, kerajaan negeri merasakan tidak hanya sekolah Cina mesti dibantu tetapi juga sekolah mubaligh...Ini adalah dasar kita (kerajaan negeri) selagi ada sumber kewangan.

"Sekiranya negeri ini stabil, aman dan kerajaan negeri ada lebihan pendapatan, apa salahnya kita berkongsi hasil ini dengan sekolah-sekolah demi kebaikan orang Sarawak juga," ujarnya.

Pada majlis itu beliau menyerahkan peruntukan RM8 juta kepada Dr Sim bagi pihak unit khas sekolah rendah bantuan Cina.

Beliau juga menyampaikan bantuan kewangan kepada 12 sekolah Cina iaitu SJK Chung Hua Stampin, SJK Chung Hua No.2, SJK Chung Hua Tondong, SJK Chung Hua Batu 4 ½, SJK Kai Nang Sibu, SJK Chung Hua Sg Jernang, SJK Chung Hua Batu 35, SJK Chung Hua Lingga, SJK Chung Hua Debak, SJK Ek Thei, SJK Yee Ting Kanowit dan SJK Kai Ming Bintulu.

Selain itu beliau menyerahkan sijil penghargaan kepada penaja-penaja utama projek pembinaan dan penempatan semula SJK Chung Hua Bako.

Hadir sama Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dato Sri Michael Manyin Jawong; Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin; Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Sebastian Ting; Menteri Muda Pembangunan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Datuk Mohd Naroden Majais; Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang; Presiden Persatuan Lembaga-Lembaga Pengurusan Sekolah Rendah Bantuan Cina Jonathan Chai dan Timbalan Presiden selaku Pengerusi Majlis Rodger Chan.

  • oleh
  • Advertisement