Anda di sini

Ungkapan 'In God We Trust' kurang sesuai

Advertisement
 Bung ketika menyampaikan amanat kepada calon-calon dan jentera BN Libaran.
AMANAT: Bung ketika menyampaikan amanat kepada calon-calon dan jentera BN Libaran.

SANDAKAN: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Dato Sri Bung Moktar Radin mempersoalkan kesesuaian penggunaan ungkapan 'In God We Trust, Unite We Must' oleh Parti Warisan Sabah (WARISAN).

Menurutnya, sebahagian daripada ayat ungkapan berkenaan iaitu 'In God We Trust', membawa maksud yang mendalam bagi negara Filipina termasuk digunakan di lokasi umum.

"Di negara Filipina, 'In God We Trust' adalah antara ungkapan yang sinonim dengan mereka. Salah satu perkampungan di negara itu turut memaparkan ungkapan yang sama pada pintu gerbang. Kenapa WARISAN mahu tiru sedangkan kita tahu Filipina mahu menuntut Sabah?.

 

"Dalam tempoh WARISAN memerintah kerajaan negeri, Filipina terlalu agresif menuntut Sabah dan mahu Sabah menjadi hak mereka," katanya dalam sidang media selepas Majlis Perjumpaan Bersama Jentera Barisan Nasional (BN) Libaran di Bandar Labuk Jaya di sini semalam.

Terdahulu dalam ucapannya, Bung berkata sekiranya BN diberi kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 dan memerintah negeri, pihaknya akan memastikan Sabah adalah hak Malaysia dan tidak akan keluar dari negara ini.

"Kita ingin pesan kepada kerajaan Filipina bahawa kita tidak akan iktiraf tuntutan mereka ke atas Sabah. Kita bukan macam WARISAN yang mesra dengan negara jiran.

"Ini bukan permainan politik tetapi permainan orang kecewa dan ia bahaya dan patut ditolak.

"Tetapi, tidak bagi BN yang mana kita sedia memacu Sabah ke satu mercu yang lebih baik, sekiranya memerintah kembali negeri ini," jelasnya.

Dalam pada itu, Bung turut mengingatkan calon-calon BN serta jentera parti untuk menggandakan usaha kempen bagi memenangi hati rakyat.

Katanya, sekiranya mahu menang dalam pilihan raya, pasukan mereka perlu melakukan kerja yang setimpal dengan sasaran itu.

Hadir sama, Pengerusi BN Kedah Datuk Seri Jamil Khir Baharom serta tiga calon BN iaitu Suhaimi Nasir (Gum-Gum), Mokran Ingkat (Sungai Manila) dan Mohd Hamsan Awang Supain (Sungai Sibuga).

  • oleh
  • Advertisement