Anda di sini

Pelajar dibenar ke luar negara sambung, daftar pengajian - Ismail Sabri 

Advertisement
Ismail Sabri bercakap pada sidang media harian perkembangan terkini PKPP di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Gambar Bernama
Ismail Sabri bercakap pada sidang media perkembangan terkini PKPP di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Pelajar yang perlu ke luar negara bagi menyambung pengajian termasuk mendaftar sebagai pelajar baharu dibenarkan berbuat demikian tanpa perlu memohon kelulusan Jabatan Imigresen, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun katanya mereka perlu mengemukakan bukti seperti kad pelajar dan surat tawaran. 

"Ibu bapa yang nak menghantar dan menemani anak-anak mereka ke luar negara dibenarkan dengan had dua orang sahaja, tidak boleh bawa keluarga macam dahulu," katanya pada sidang media harian berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini.

Beliau berkata pelajar dan pengiring yang pulang ke Malaysia pula perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari.

Sementara itu, Ismail Sabri menyeru orang ramai memanfaatkan e-Census yang akan tamat pada 30 September ini bagi mengurangkan kadar interaksi banci secara bersemuka yang akan berlangsung mulai 7 Oktober depan.

Beliau berkata hingga kini, hanya 1.5 juta daripada kira-kira 32.7 juta penduduk selesai mengisi e-Census melalui laman sesawang www.mycensus.gov.my.  

"Berikutan pandemik COVID-19, kerajaan ingin menggesa orang ramai untuk mengambil bahagian dalam Banci 2020 melalui e-Census yang akan tamat dalam tempoh 15 hari lagi," katanya.

Ismail Sabri berkata kerajaan telah menetapkan prosedur operasi standard yang ketat bagi operasi banci di tempat kediaman persendirian dan institusi, antaranya petugas banci wajib menggunakan pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal.

Sementara itu, beliau memaklumkan Polis Diraja Malaysia menahan 132 individu atas kesalahan ingkar arahan PKPP semalam.

Beliau berkata antara kesalahan yang dilakukan ialah aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal, gagal merekod butiran pelanggan dan mengadakan 'private party'. 

"Aktiviti private party dan aktiviti di pub atau kelab malam masih berada dalam senarai aktiviti terlarang," tegasnya.

Selain itu, pihak keselamatan menahan 46 pendatang tanpa izin serta merampas sebuah bot dan tiga kenderaan dalam Op Benteng, semalam. - Bernama

Advertisement