Anda di sini

Muzium PDRM simpan pusaka Sang Saka Biru

Advertisement
Selamat menunjukkan antara koleksi senjata api yang terdapat di Muzium PDRM kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini. - Gambar Bernama
Selamat menunjukkan antara koleksi senjata api yang terdapat di Muzium PDRM kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini. - Gambar Bernama

BERMULA sebagai sebuah stor barang kes jenayah untuk pembelajaran pelatih polis, Muzium Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Jalan Perdana, Kuala Lumpur kini menyimpan khazanah dan sejarah kegemilangan pasukan keselamatan yang berusia lebih 200 tahun itu.

Muzium yang asalnya ditempatkan di bangunan kayu biru putih Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Jalan Gurney (kini Jalan Semarak) pada 1952, banyak menyimpan khazanah penting dan maklumat sejarah perkembangan institusi PDRM.

Dirasmikan pembukaannya pada 9 Januari 1961, oleh Yang di-Pertuan Agong ke-3 Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullai, muzium berkenaan menyimpan pelbagai artifak, antaranya senjata lama pistol flint-lock buatan British berusia lebih 300 tahun serta duit syiling Portugis yang berusia lebih 500 tahun.

Terdapat lebih 3,000 artifak seperti senjata, pistol, pedang, anak panah, meriam, kereta perisai, kenderaan pemadam api beroda, rajah, peta, pakai seragam polis zaman dahulu dan pelbagai dokumen yang dirampas dari komunis dan gambar pasukan dipamerkan buat tatapan pengunjung, agar dapat menelusuri jerit perih sejarah perjuangan pasukan keselamatan tertua negara itu.

Ketika penulis melangkah masuk ke pekarangan muzium berkenaan, di bahagian luar muzium tersergam kereta perisai, pesawat terbang dan meriam lama British jenis HMW berusia 103 tahun yang pernah digunakan polis Kedah di Balai Polis Sungai Petani pada tahun 1940.

Pengarah Muzium PDRM Supt Selamat Sainayune berkata, penerokaan di muzium berusia hampir 70 tahun ini akan memberi perspektif baharu kepada pengunjung apabila dapat melihat sendiri ribuan khazanah dan sejarah perkembangan pasukan itu di negara ini.

“Sejarah dan kehebatan pasukan polis dari zaman Kesultanan Melayu Melaka sehingga hari ini dapat difahami pengunjung menerusi artifak yang dipamerkan. 

“Sudah pasti dengan melihat sendiri artifak termasuk senjata api yang dirampas pada zaman komunis dan peralatan pasukan polis yang bertarikh seawal 1807 membuka mata kepada pencinta sejarah tanah air betapa besarnya pengorbanan anggota polis kepada negara,” kata Selamat yang telah berkhidmat selama 36 tahun di Muzium PDRM kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.

Bercerita lanjut, Selamat berkata bangunan muzium PDRM kini yang terletak di kawasan seluas 1.26 hektar, pada asalnya merupakan mes pegawai kanan polis, namun diubah suai dan dibahagikan kepada tiga bahagian utama meliputi sejarah polis, darurat dan kerjaya PDRM.

Pemindahan bahan pameran dari PULAPOL ke lokasi sekarang pada 1983 adalah, susulan bangunan asal yang telah uzur dan tidak mampu menampung pertambahan artifak yang disumbangkan dari semasa ke semasa.

Selamat Sainayune mempamerkan antara hasil penulisan beliau sepanjang tempoh 36 tahun perkhidmatan beliau di Muzium PDRM kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini. - Gambar Bernama
Selamat mempamerkan antara hasil penulisan beliau sepanjang tempoh 36 tahun perkhidmatan beliau di Muzium PDRM kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini. - Gambar Bernama

Melihat kepada pertambahan bahan-bahan sumbangan sejarah, muzium PDRM yang baharu diilhamkan pembinaannya oleh bekas Ketua Polis Negara Tun Hanif Omar, dan ia dibuka kepada orang ramai pada 24 Julai 1999.

Lebih sejuta pengunjung tempatan atau luar negara telah melawat muzium berkenaan.

Selamat menjelaskan, selain itu PDRM juga mewujudkan dua lagi galeri polis bagi mengenang peristiwa khas serangan komunis dan darurat serta sumbahan pemimpin dan tokoh dalam pasukan itu.

Ia dikenali sebagai Galeri Darurat Bukit Kepong (GDBK) yang menyimpan pelbagai sejarah peristiwa darurat keganasan komunis yang menyerang hendap Balai Polis Bukit Kepong, serta tempoh darurat dari 1948 hingga 1960 serta era Insurgensi Komunis Kedua pada tahun 1968 hingga 1989.

Galeri Ketua Polis Negara (GKPN) yang dirasmikan pada 5 September 2016  dan terletak di Bukit Aman pula ditubuhkan sebagai satu bentuk penghargaan, kenangan dan penghormatan di atas segala sumbang bakti yang telah dicurahkan semua Ketua Polis Negara sepanjang tempoh berkhidmat dalam pasukan.

GDBK, yang terletak lebih 200 kilometer dari ibu kota di Bukit Kepong, Muar, Johor dirasmikan pada 23 Februari 2017 telah menerima hampir 200,000 pengunjung, sejak dibuka.

Jelas Selamat, setiap tahun sepanjang Bulan Kebangsaan, Muzium PDRM akan menganjurkan pelbagai aktiviti untuk menarik kunjungan orang awam termasuk pelajar, seperti program bermalam di muzium yang diadaptasi daripada filem Night at the Museum, aktiviti pertandingan mencipta sajak patriotik, ikhtiar hidup dan ceramah kenegaraan.

Katanya, namun disebabkan penularan wabak COVID-19 yang masih melanda negara, semua aktiviti yang bertujuan memupuk semangat patriotisme itu terpaksa dibatalkan.

“Bagaimanapun, orang ramai masih boleh menelusuri peristiwa dan gambar perjuangan serta pengorbanan anggota polis melalui Facebook dan Instagram Muzium PDRM,” katanya.

Muzium PDRM beroperasi setiap hari kecuali Isnin, bermula 10 pagi hingga petang dan kemasukan adalah percuma. - Bernama

  • oleh
  • Advertisement