Anda di sini

Mekanik dituduh terlibat penipuan jual beli kereta

Advertisement
 Tertuduh diiringi polis selepas selesai perbicaraannya di Sibu semalam.
REMAN SEMENTARA: Tertuduh diiringi polis selepas selesai perbicaraannya di Sibu semalam.

SIBU: Seorang mekanik berusia 33 tahun dituduh di Mahkamah Majistret Sibu kerana terlibat dalam sembilan kes penipuan jual beli kereta melalui Facebook yang dilaporkan di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak Superintenden Maria Rasid berkata tertuduh dikenali Valentine Empanit Adam berasal dari Kuching.

Menurutnya, tertuduh yang tidak diwakili peguam mengaku tidak bersalah atas 21 pertuduhan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dua pertuduhan di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan.

“Pertuduhan dibacakan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Badrul Iskandar Selamat di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali dan Pegawai Pendakwa Inspektor Awang Iswandi Awang Mahmuddin di hadapan Majistret Muhammad Faizal Che Saad.

“Sebelum ini, tertuduh ditangkap Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan pada 3 September lalu kerana terlibat dalam 15 kes penipuan jual beli kereta melalui Facebook dilaporkan di Sibu, Bintulu, Saratok, Sri Aman dan Kota Samarahan melibatkan kerugian lebih RM50,000,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Jelasnya, Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu dan dengan cara tidak jujur mendorong supaya harta diserahkan, memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Sementara Seksyen 424 Kanun Keseksaan iaitu mengalih atau menyembunyikan harta dengan cara tidak jujur atau dengan tipuan memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah menawarkan jaminan tunai RM20,500 dengan dua penjamin tempatan bagi semua 23 pertuduhan namun tertuduh gagal membayar wang jaminan dan tidak dapat menyediakan dua penjamin tempatan.

“Tertuduh kemudian ditahan reman sementara di Penjara Sibu. Tarikh Pre-Trial Case Management (PTCM) ditetapkan mahkamah pada 26 Oktober ini,” jelasnya.

Advertisement