Anda di sini

Hamilton juarai Grand Prix Tuscan

HAMILTON
HAMILTON

MUGELLO: Lewis Hamilton mempamerkan kehebatannya pada petang yang penuh drama pada Ahad apabila beliau memenangi perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix Tuscan untuk menjarakkan kedudukan selaku pendahulu keseluruhan kategori pemandu.

Hamilton, yang juga juara bertahan, menamatkan perlumbaan di hadapan rakan sepasukannya di Mercedes, Valtteri Bottas di Litar Mugello untuk meraih kemenangan ke-90 dalam kerjayanya, meletakkan beliau hanya kurang satu kemenangan untuk menyamai rekod yang dipegang Michael Schumacher.

Hamilton mengharungi satu perlumbaan bijak dalam keadaan penuh drama di mana hanya 12 pemandu menamatkan perlumbaan ekoran dua pelanggaran melibatkan beberapa kereta dan kehadiran tiga kali Kereta Keselamatan dalam litar.

“Ia agak kebingungan,” kata Hamilton ketika memberitahu penyiaran Sky Sports.

“Ia adalah hari yang sangat sukar.. Semua permulaan semula, fokus yang diperlukan pada ketika ini adalah sangat sukar.”

Hamilton sudah mengumpul 190 mata, 55 mata di hadapan Bottas dan berada di landasan untuk menyamai rekod Schumacher muncul juara dunia sebanyak tujuh kali selepas memenangi perlumbaan keenam dari sembilan perlumbaan tahun ini.

Pemandu berusia 35 tahun itu melanjutkan rekod menamatkan perlumbaan dalam kelompok mata untuk 42 perlumbaan berturut-turut selain mencipta rekod menaiki podium sebanyak 158 kali di hadapan Bottas, yang cuba mengejarnya sehingga ke garisan penamat.

Ia juga rekod menamatkan 222 perlumbaan dengan kutipan mata buat Hamilton dan kali pertama musim ini di mana Mercedes meraih kemenangan satu dua dan mencipta masa terpantas satu pusingan.

Alex Albon menamatkan perlumbaan di tempat ketiga, meraih podium pertama beliau bersama Red Bull selepas pemanduan bergaya untuk menampung kekecewaan pasukan selepas pemandu utama, Max Verstappen, terkeluar dari perlumbaan selepas berlaku pelanggaran pertama.

Daniel Ricciardo dari pasukan Renault menamatkan perlumbaan di tempat keempat, di hadapan Sergio Perez dari Racing Point, Lando Norris dari McLaren, Daniil Kvyat dari Alpha Tauri dan Charles Leclerc, yang mengutip mata untuk pasukan Ferrari di tanahair pasukan itu ketika mereka menamatkan perlumbaan yang meraikan ulang tahun ke-1,000 perlumbaan Grand Prix dengan hambar.

Kimi Raikkonen dari Alfa Romeo dan Sebastian Vettel dari Ferrari melengkapkan 10 pemandu teratas yang menamatkan perlumbaan.

Perlumbaan mengambil masa dua jam dan 25 minit untuk tamat, dengan tempoh kemasukan Kereta Keselamatan secara keseluruhannya adalah sebanyak 76  minit.

“Ia seperti tiga  perlumbaan dalam satu hari,” kata Hamilton. “Litar cukup luar biasa dan dengan cuaca panas, ia sukar untuk menangani saingan Valtteri.”

Kemalangan pertama menyingkirkan Verstappen, yang hilang kuasa enjin selepas memulakan perlumbaan dengan baik dan pemenang perlumbaan minggu lepas, Pierre Gasly, mendahului sehingga ke pusingan  keenam di belakang Kereta Keselamatan dan kereta Vettel dan Kimi Raikkonen dibaiki dengan segera.

Apabila kereta keselamatan kembali pada pusingan ketujuh, ia terhenti sekali lagi apabila berlaku satu lagi pelanggaran melibatkan banyak kereta, kali ini enam buah kereta dengan tiada kecederaan dilaporkan.

Ia menyebabkan Carlos Sainz (McLaren), Antonio Giovinazzi (Alfa Romeo), Kevin Magnussen (Haas) dan Nicholas Latifi (Williams) tersingkir dari perlumbaan.

Rakaman video mencadangkan Giovinazzi kelihatan merempuh Magnussen dan Latifi, yang menyebabkan pelanggaran dengan Sainz. — AFP

Advertisement