Anda di sini

Gas asli cecair ditemui di Bukit Kanada, Miri

Advertisement
 Cecair dipercayai gas asli membuak-buak dari lubang tanah di bekas tapak telaga minyak di Bukit Kanada, Miri.
PERLU KAJIAN: Cecair dipercayai gas asli membuak-buak dari lubang tanah di bekas tapak telaga minyak di Bukit Kanada, Miri.

MIRI: Berita penemuan dipercayai gas asli cecair di bekas telaga minyak yang ditinggalkan di Bukit Kanada di sini, sudah pun dimaklumkan kepada Pejabat Ketua Menteri Sarawak.

Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Sebastian Ting ketika dihubungi Utusan Borneo di sini, semalam, berkata beliau sudah pun memaklumkan perkara tersebut kepada Pejabat Ketua Menteri semalam dengan menyertakan beberapa bukti awal seperti rakaman video mengenai cecair berkenaan yang dipercayai gas asli cecair serta laporan berita mengenainya.

“Saya sudah pun menghantar laporan akhbar (dari bahasa Cina) dan rakaman video yang menunjukkan buih-buih gas yang terhasil dipercayai gas asli cecair kepada Pejabat Ketua Menteri dan maklum balas yang saya terima, mereka menyifatkan ia satu penemuan yang amat baik,” katanya.

Ting berharap satu tindakan susulan akan dilakukan kemudiannya bagi melindungi sumber berkenaan, jika benar dan ia disahkan sebagai gas asli cecair.

“Saya sendiri akan melawat tapak berkenaan selepas balik dari menghadiri sambutan Hari Malaysia (pada 16 September) di Sibu.

“Selepas melihat sendiri keadaan di sana, baru kita dapat memikirkan apa tindakan dan langkah yang seterusnya,” jelas Ting.

Ditanya sama ada beliau akan memanggil pihak berkuasa berkaitan untuk melakukan siasatan dan kajian lanjut di tapak berkenaan, beliau berkata perkara itu sudah tentunya dalam tindakan susulan kelak.

“Justeru buat masa ini, saya berharap orang ramai atau pihak tertentu yang datang ke sana atau melalui kawasan tersebut, perlu berhati-hati dan mengutamakan keselamatan mereka.

“Jangan sesekali merokok (di sekitar kawasan tersebut),” katanya.

Orang ramai juga dinasihati agar tidak membawa bersama bahan yang mudah terbakar atau boleh mencetuskan api, kerana kandungan sebenar gas berkenaan masih belum diketahui dan begitu juga tahap bahayanya.

“Kedua, kita belum pasti mengenai kandungan sebenar gas yang terhasil itu dan jika benar ia adalah sumber gas asli (dari bekas telaga minyak) maka ia adalah sumber asli milik kita, rakyat di Miri dan negeri Sarawak dan kita akan melindunginya dan menjaga kawasan berkenaan,” katanya.

Pada petang kelmarin, beberapa kumpulan pelari Miri Hash House Harier (MHHH) bersama wartawan akhbar See Hua melakukan tinjauan dan rakaman video di kawasan berkenaan yang menunjukkan dua penemuan lubang yang menyaksikan gas cecair yang membuak-buak keluar dari perut bumi.

Keadaan itu juga menjadikan kawasan sekitar berbau gas yang agak kuat.

Menurut Pengerusi MHHH Chong Mai Kim, mereka menyedari bau gas dari lubang berkenaan sejak setahun lalu, semasa melakukan larian melalui kawasan tersebut namun tidak pernah mengendahkannya.

“Hanya petang semalam (Ahad) kami membawa bersama wartawan (akhbar See Hua) untuk mencari punca bau gas berkenaan dan kami amat terkejut kerana tidak menyangka akan menemuinya,” ujar beliau.

Kumpulan pelari berkenaan juga kemudian mengambil inisiatif menebas rumput di kawasan sekitar lubang gas untuk menandakan kawasan berkenaan dan memudahkannya dikesan.

Bukit Kanada yang terkenal dengan Grand Old Lady iaitu telaga minyak pertama di Sarawak dan Malaysia, pada 1910, merupakan lokasi perlombongan minyak mentah di darat Miri sekitar 1910 hingga 1962.  

Dalam sejarah Miri yang dicatatkan di Muzium Petroluem Miri, sebanyak 600 telaga minyak pernah digali di Bukit Kanada, sepanjang tempoh tersebut.

Advertisement