Anda di sini

Enam sekolah di tiga daerah terjejas banjir ditutup

Advertisement
 Salah satu kawasan yang terjejas banjir. - Foto ehsan pembaca.
BANJIR: Salah satu kawasan yang terjejas banjir. - Foto ehsan pembaca.

KOTA KINABALU: Sesi persekolahan di enam sekolah kebangsaan (SK) dibatalkan selepas sekolah terbabit terjejas banjir disebabkan hujan lebat yang melanda kebanyakan daerah di negeri ini sejak malam kelmarin.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Sabah Dr Mistirine Radin berkata, antara sekolah yang ditutup termasuklah SK Pintas di Beaufort yang menempatkan seramai 174 murid dan 16 guru.

"Sekolah yang turut mempunyai lapan murid pra sekolah itu ditutup berikutan kawasan dan laluan sekolah dinaiki air menyebabkan sekolah tidak dapat beroperasi seperti biasa.

"SK Babagon Toku di sini turut ditutup disebabkan tanah runtuh di laluan sekolah dan tidak dapat dilalui, 102 murid termasuk 17 murid pra sekolah manakala 14 guru tidak dapat meneruskan pembelajaran," katanya.

Menurutnya, empat lagi sekolah di Papar turut ditutup berikutan kawasan serta laluan sekolah dinaiki air dan kesemua sekolah itu tidak dapat beroperasi.

"Sekolah terbabit termasuklah SK Tampasak, SK Kaiduan, SK Pekan Kinarut dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kin Kiau Kinarut dengan jumlah guru 174 orang serta 2,551 murid dan 124 murid pra sekolah tidak dapat ke sekolah.

"Ini menjumlahkan seramai 204 guru, 2,796 murid dan 149 murid pra sekolah di tujuh kelas terjejas banjir di Sabah," katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca waspada dengan hujan lebat dijangka berlaku di beberapa tempat di Sarawak dan Sabah.

 Salah sebuah sekolah mengalami kerosakan selepas dilanda banjir. -  Foto ehsan pembaca.
TERJEJAS: Salah sebuah sekolah mengalami kerosakan selepas dilanda banjir. - Foto ehsan pembaca.

Sabah dijangka mengalami hujan lebat di beberapa kawasan termasuk pedalaman Kuala Penyu dan Beaufort, Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud) serta Kudat dan Labuan sehingga Rabu ini.

Sementara itu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah melalui Pusat Gerakan Operasi mengesahkan pihaknya belum menerima sebarang laporan atau aduan berkenaan banjir kilat yang melanda beberapa kawasan sekitar ibu negeri serta beberapa daerah berdekatan.

Jurucakap PGO Sabah berkata, pihaknya sentiasa menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa terutama di kawasan yang sering dinaiki banjir.

  • oleh
  • Advertisement