Anda di sini

Dua warga asing didakwa sebabkan kecederaan guna senjata

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Mahkamah Sesyen di sini semalam menetapkan 14 Oktober tahun ini untuk sebutan semula kes yang melibatkan dua lelaki warga asing yang didakwa menyebabkan kecederaan kepada orang lain dengan menggunakan senjata berbahaya.

Hakim Noor Hafizah Mohd Salim menetapkan tarikh berkenaan untuk merekodkan pengakuan Saddam Hussain dan Muhammad Kashif Amir Nawab, setelah mereka meminta jurubahasa Pashto kerana mereka tidak memahami Bahasa Malaysia.

Kedua-dua tertuduh itu menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Selain itu, mereka juga didakwa memasuki Sabah secara haram.

Namun, dengan alasan yang sama, mahkamah menetapkan tarikh yang sama untuk pengambilan pengakuan bagi kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Memasuki Sabah secara haram ialah kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/1963, yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM10,000 atau hukuman penjara sehingga lima tahun atau sebat, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, mahkamah yang sama telah menjatuhkan hukuman penjara empat bulan kepada seorang lelaki kerana memasuki negara ini tanpa dokumen yang sah.

Satara Albani yang ditangkap setelah gagal mengemukakan dokumen perjalanannya semasa pemeriksaan, mengakui melakukan kesalahan itu pada 6 September baru-baru ini di sini.

Mahkamah juga memerintahkan Satara untuk menjalani hukuman penjara dari tarikh penangkapan dan dirujuk ke Jabatan Imigresen agar data biometriknya direkodkan sebelum dihantar pulang.

  • oleh
  • Advertisement