Anda di sini

Bintang ‘The Crown’ Vanessa Kirby dalam watak menyayat hati

Advertisement
 

BINTANG ‘The Crown’ Vanessa Kirby berkata watak terbaharu sebagai seorang wanita yang kehilangan anaknya selepas kelahiran di rumah yang salah adalah yang paling menakutkan setakat ini.

Aktres British itu berlakon di sisi bintang Hollywood Shia Labeouf dalam ‘Pieces of a Woman’, yang mengadakan tayangan perdana di Festival Filem Venice baru-baru ini.

Ia dibuka dengan adegan kelahiran selama 25 minit yang dirakam dalam satu ‘take’ oleh pengarah dari Hungary Kornel Mundruczo dan ditulis oleh isterinya, Kata Weber.

“Isteri saya dan saya mahu berkongsi salah satu pengalaman paling peribadi kami dengan audiens menerusi kisah seorang bayi yang belum lahir, dengan kepercayaan bahawa kesenian dapat menjadi ubat terbaik bagi kesakitan,” kata Mundruczo.

Filem itu merupakan satu daripada siri filem amat peribadi yang bertanding untuk hadiah utama Golden Lion.

Kirby, 32, berkata cuba setia kepada penderitaan wanita-wanita yang bercakap dengannya sebelum penggambaran “amat menakutkan”.

Tetapi dia terjun “amat dalam” ke dalam watak utama pertamanya dalam sebuah filem dengan cara yang tidak pernah dia lakukan sejak dia mencipta nama dengan membawa watak Puteri Margaret, adinda Ratu Elizabeth II di England, dalam siri Netflix berkenaan yang popular.

Mundruczo mengakui membuat sebuah filem “tentang bagaimana anda kehilangan bayi anda” bukan idea yang paling komersial pernah dia lontarkan.

Tetapi pengarah tersohor itu berkata menangani kesedihan yang begitu menyakitkan, yang turut dikaitkan dengan trauma Holocaust di dalam keluarga watak tersebut, adalah bersifat sejagat.

“Kehilangan melangkah ke luar sempadan pemahaman atau kawalan bagi semua kita, tetapi datang dengan keupayaan untuk dilahirkan semula,” tambahnya.

Mundruczo – paling terkenal kerana filem yang memenangi hadiah Cannes pada 2014 ‘White God’ – dan Weber memakai kemeja yang menyebut #FreeSZFE untuk menyokong pelajar yang menduduki Universiti Kesenian Filem dan Teater Budapest selepas perdana menteri negara Viktor Orban melantik salah seorang penyokongnya untuk menjadi ketuanya.

Pengkritik Orban telah memenuhi jalan raya untuk menyokong pelajar dan berkata ia merupakan cubaan terbaharu oleh kerajaan nasionalis pimpinannya untuk merampas kuasa dari institusi yang ia anggap sebagai berhaluan kiri.

Mundruczo berkata dia menyokong tindakan pelajar mempertahankan kebebasan universiti.

Terdahulu dia memberitahu pemberita bahawa dia sudah berpindah ke Berlin lebih setahun lalu kerana “tekanan semakin meningkat ke atas kesenian bebas” di bawah Orban, yang sudah memegang kuasa selama lebih sedekad.

“Negara saya mula menjadi pelik sedikit,” tambahnya.

Sebuah lagi filem yang begitu bersifat autobiografi dan menarik perhatian di Venice adalah ‘Padrenostro’ (Bapa Kami) dari Itali arahan Claudio Noce, yang mendapat inspirasi daripada satu serangan pengganas ke atas bapanya, seorang pesuruhjaya polis, ketika pengarah itu berusia dua tahun.

Bapanya terselamat daripada cubaan membunuhnya pada 1976 oleh kumpulan sayap kiri, Armed Proletarian Nuclei (NAP), dan filem itu memberi tumpuan kepada kesan susulan ke atas sebuah keluarga daripada perkara buruk sama yang dilihat menerusi pandangan seorang budak lelaki berusia 10 tahun.

“Salah satu sebab kenapa saya mahu membuat filem ini adalah untuk cuba mengatasi ketakutan ini,” kata Noce kepada pemberita.

“Sudah tentulah ia menyakitkan. Idea untuk membuat sebuah filem ... mengenai apa yang telah berlaku kepada keluarga saya, kepada bapa saya khususnya, sudah hidup dengan saya begitu lama,” tambahnya.

Itali mengalami terorisme domestik selama dua dekad dari hujung tahun 1960an dalam tempoh yang dikenali sebagai “Years of Lead”. — AFP

Advertisement