Anda di sini

Siri popular ‘The Walking Dead’ akan ditamatkan pada tahun 2022

Advertisement
 Gambar fail bertarikh 2 Oktober 2014 ini menunjukkan pelakon ‘The Walking Dead’ iaitu (dari kiri) Lauren Cohan, Alanna Masterson, Steve Yeun, Emily Kinney, Andrew Lincoln dan Sonequa Martin-Green menghadiri tayangan khas bagi meraikan musim kelima siri itu. — Gambar AFP
TAMAT: Gambar fail bertarikh 2 Oktober 2014 ini menunjukkan pelakon ‘The Walking Dead’ iaitu (dari kiri) Lauren Cohan, Alanna Masterson, Steve Yeun, Emily Kinney, Andrew Lincoln dan Sonequa Martin-Green menghadiri tayangan khas bagi meraikan musim kelima siri itu. — Gambar AFP

DAHULU siri yang ditaraf paling tinggi dalam sejarah televisyen kabel di Amerika Syarikat, ‘The Walking Dead’ secara rasmi sudah sampai ke penghujungnya.

Siri zombie yang memecah rekod itu akan berakhir pada 2022 selepas musim ke-11 saiz gergasi yang menjangkau 24 episod, rangkaian AMC menyebut dalam satu kenyataan baru-baru ini.

“Ia sudah 10 tahun berlalu, apa yang ada di depan adalah dua tahun lagi dan banyak cerita untuk disampaikan selepas itu,” kata pencipta bersama Scott Gimple.

Dilancarkan pada 2010, siri seram pasca-apokaliptik itu berulang kali memecah rekod audiens kabel, dengan kemuncaknya sewaktu tayangan perdana siri kelima pada 2014, yang menarik 17.3 juta penonton. Tetapi audiens mula merosot dengan ketara pada 2017.

Sementara penamat siri utama itu kini sedang dirancang, francais ‘Walking Dead’ yang lumayan mempunyai rancangan susulan yang panjang.

AMC akan meneruskan rancangan untuk membuat siri keluaran sampingan baharu yang memberi tumpuan kepada dua watak Daryl Dixon (Norman Reedus) dan Carol Peletier (Melissa McBride), yang akan mengadakan tayangan perdana pada 2023.

Satu siri ala antologi yang berasingan akan memaparkan episod yang berdiri sendiri atau kumpulan episod yang fokus kepada watak-watak individu – baik watak kegemaran yang sedia ada mahupun baharu.

Tarikh keluaran belum diumumkan.

Sebuah lagi keluaran sampingan, ‘Fear the Walking Dead’, sudah bersiaran sejak 2015, dan ‘The Walking Dead: World Beyond’ – siri baharu tentang generasi pertama yang dibesarkan dalam apokalips – akan mengadakan penampilan sulung pada 4 Oktober.

Alam ‘The Walking Dead’ berdasarkan sebuah buku komik tentang visi yang sarat dengan zombie di Amerika Syarikat.

Siri asal berkisar sekitar Rick Grimes (Andrew Lincoln), seorang syerif yang bangun dari koma dan mendapati dunia sudah dikepung oleh zombie, dan memulakan usaha untuk mencari orang lain yang selamat.

Lincoln meninggalkan siri itu pada 2018 tetapi wataknya dijadual menjadi bintang dalam filem-filem cereka yang berdiri sendiri.

Episod terakhir musim 10 bagi ‘The Walking Dead’ belum lagi ditayangkan, selepas penerbit pada Mac lalu memberitahu penerbitan telah dihentikan oleh pandemik koronavirus.

Enam episod yang berbaki dari musim ini kini dijadualkan pada awal tahun depan.

AMC telah menikmati kejayaan bagi beberapa siri yang luar biasa sejak beberapa tahun lalu termasuk ‘Mad Men’ dan ‘Breaking Bad’ – yang turut menjana siri keluaran sampingan yang popular ‘Better Call Saul’.

— AFP

Advertisement