Anda di sini

Petani dicekup bersama 5.1 kilogram syabu di Tebedu

Advertisement
Aidi ditemani Jasmirol (kiri) dan Aswandy (dua kanan) menunjukkan dadah jenis syabu dan barang kes yang dirampas.
Aidi ditemani Jasmirol (kiri) dan Aswandy (dua kanan) menunjukkan dadah jenis syabu dan barang kes yang dirampas.

SERIAN: Polis Sarawak merampas 5.1 kilogram dadah jenis syabu dan menangkap seorang lelaki yang disyaki pengedar di hadapan pintu pagar utama Pejabat Daerah Tebedu pada Khamis lalu. 

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata, suspek, 50, bekerja sebagai petani itu ditangkap sekitar jam 3 petang oleh pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian dan dibantu anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak. 

Jelasnya, suspek ditangkap ketika mengambil bungkusan yang dihantar dari Johor menerusi perkhidmatan penghantaran kurier ke lokasi terbabit. 

"Suspek ditangkap kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah dan kita percaya dadah ini untuk diedarkan kepada kira-kira 5,100 penagih. 

"Malah, polis turut merampas dua kotak yang disyaki mengandungi dadah dan pemeriksaan kotak-kotak yang dirampas mendapati satu kotak berwarna hitam yang mengandungi dua bungkusan masing-masing berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine dengan anggaran seberat 2,000 gram," katanya pada sidang media di Dewan Sri Pengaman IPD Serian di sini hari ini. 

Tambahnya, pemeriksaan lanjut ke atas satu lagi kotak berwarna coklat mengandungi tiga bungkusan masing-masing berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine dengan berat kasar 3,100 gram.

"Berat kasar keseluruhan rampasan 5,100 gram yang dianggarkan bernilai RM201,000.

"Suspek yang ditahan seterusnya dibawa ke IPD Serian untuk tindakan selanjutnya," Jelas Aidi. 

Dalam pada itu, beliau memberitahu ujian saringan air kencing tehadap suspek didapati negatif dadah.

Selain itu, Aidi menjelaskan, polis turut merampas wang tunai sebanyak RM14,000, sebuah kereta dan sebuah motosikal dengan keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM49,000. 

Tegasnya, suspek ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dikenakan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan jika sabit kesalahan. 

Tambah beliau, suspek kini direman selama tujuh hari sejak 11 September lalu untuk membantu siasatan lanjut. 

Beliau pada sama sama menghargai dan mengucapkan penghargaan atas keperihatinan seluruh rakyat Sarawak dalam menyalurkan maklumat tentang aktiviti penyalahgunaan dadah. 

"Oleh itu, kita akan memperketatkan lagi kawalan dan pemeriksaan terutamanya melibatkan syarikat perkhidmatan penghantaran di negeri ini bagi mengekang aktiviti pengedaran dadah," ujarnya.

Hadir sama Ketua JSJN Sarawak ACP Jasmirol Jamaluddin, Ketua Polis Daerah Serian DSP Aswandy Anis dan pegawai-pegawai kanan lain. 

  • oleh
  • Advertisement