Anda di sini

Kuching FA raih tiga mata pertama

Advertisement
 Rafiezan berjaya membolosi gawang Sarawak United sekali gus membolehkan Kuching FA meraih kemenangan pertama pada saingan Liga Perdana Malaysia.
MATA PENUH: Rafiezan berjaya membolosi gawang Sarawak United sekali gus membolehkan Kuching FA meraih kemenangan pertama pada saingan Liga Perdana Malaysia.

KUCHING: Pasukan Kuching FA akhirnya berjaya menamatkan kemarau tiga mata penuh selepas meraih kemenangan pertama dalam saingan Liga Perdana Malaysia selepas menewaskan Sarawak United FC, 2-1 di Stadium Negeri, Petra Jaya malam kelmarin.

Skuad Kuching FA berjaya mendahului perlawanan pada babak pertama dengan gol pembukaan menerusi Mohd Hairol Mokhtar pada minit ke-18 hasil sepakan sudut.

Namun, masuk babak kedua perlawanan, Sarawak United bermula dengan garang sekali gus membuahkan hasil apabila berjaya menyamakan kedudukan melalui penyerang sensasi, Patrick Ronaldinho pada minit ke-59.

Pada minit ke-65, pemain tengah Kuching FA, Tommy Mawat Bada dilayangkan kad merah ekoran insiden kekasaran yang berlaku.

Meskipun bermain dengan 10 pemain, Kuching FA tetap tidak mengalah dan masih mencuba melakukan beberapa serangan.

Bagaimanapun, hasrat Sarawak United untuk mengutip sekurang-kurangnya satu mata tidak kesampaian selepas Ketua Pasukan Kuching FA Rafiezan Razali membolosi gawang lawan hasil dari hantaran lintang sekali gus mengesahkan tiga mata penuh buat pasukannya.

Keputusan 2–1 kekal hingga tamat perlawanan.

Sementara itu, Penolong Ketua Jurulatih Kuching FA Ahmad Nurfaizal Patrick Abdullah berkata, persembahan anak buahnya pada malam itu sangat baik.

"Tahniah kepada semua pemain yang berusaha keras hari ini, dari segi permainan seperti yang dirancang mereka bermain dengan bagus dan tidak leka.

"Oleh itu, kita lebih memandang ke hadapan dan fokus kepada empat baki perlawanan selepas ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan.

Tambahnya, penjagaan diri, kecederaan dan persiapan latihan akan diberi tumpuan selepas ini sebelum menerima kunjungan Kelantan untuk perlawanan seterusnya.

"Sebelum berjumpa Kelantan di Stadium Negeri, kita akan susun sebaik mungkin, mereka sudah bersedia dari segi mental dan prestasi mereka sudah kembali," ujarnya.

  • oleh
  • Advertisement