Anda di sini

Banjir maut di lombong emas Kongo

 Ratusan penduduk berkumpul di pintu masuk salah sebuah lombong tersebut di Kamituga, Kivu Selatan kelmarin. — Gambar AFP
TRAGEDI: Ratusan penduduk berkumpul di pintu masuk salah sebuah lombong tersebut di Kamituga, Kivu Selatan kelmarin. — Gambar AFP

BUKAVU: Kira-kira 50 orang dikhuatiri lemas setelah sebuah lombong emas tempatan banjir di timur Republik Demokratik Kongo (DRC) akibat hujan lebat, menurut seorang gabenor wilayah kelmarin.

Kemalangan di lombong buatan sendiri itu berlaku pada Jumaat di pekan Kamituga, di wilayah Kivu Selatan, kira-kira 270 kilometer barat daya bandar utama wilayah Bukavu.   

Bahagian timur DRC yang kaya dengan bahan mineral namun tidak stabil sering berdepan serangan kumpulan militia dan pemberontak yang beroperasi secara bebas di wilayah itu.

Gabenor Kivu Selatan Theo Ngwabidje Kasi menyatakan kematian tragik 50 orang, kebanyakan mereka masih muda.

Bagaimanapun, datuk bandar Kamituga Alexandre Bundya menyatakan mereka masih belum pasti jumlah sebenar mangsa.

Tiada mayat yang telah ditemui setakat ini, kata beliau, sambil menambah 19 keluarga telah datang mencari ahli keluarga mereka.

Presiden DRC Felix Tshisekedi menyatakan beliau berasa amat sedih dan meminta pihak kerajaan mengambil langkah-langkah tegas supaya tragedi sebegini tidak akan berulang lagi.

Penduduk tempatan yang ditemui di tempat kejadian, Jean Nondo Mukambilwa, memberitahu bahawa hanya satu mayat telah ditemui setakat ini.

Hujan lebat membanjiri sebatang sungai berhampiran lombong, dan beliau menolak satu laporan awal bahawa lombong tersebut telah runtuh.

“Ia bukannya satu kejadian runtuh, hujan yang menyebabkan kemalangan itu berlaku,” jelas beliau.

“Air melimpah masuk ke dalam tiga terowong.

“Ketika pelombong cuba untuk keluar, tiada jalan lagi kerana air mengalir deras dengan tekanan tinggi.”

Beratus-ratus orang berkumpul di pintu masuk ke salah satu terowong, dipaparkan dalam video yang dihantar kepada AFP oleh saksi.

Golongan lelaki menggunakan penyodok cuba untuk membuka jalan masuk ke laluan yang sempit, ketika pekerja Palang Merah berdiri menunggu.

Datuk bandar memberikan dikri berkabung dua hari dan menyeru kepada penduduk tempatan agar membantu mengeluarkan mayat dari lombong.

“Siasatan harus dilakukan bagi mencari punca kepada kemalangan ini,” kata wakil masyarakat awam Nicolas Kyalangalilwa.

“Pihak berkuasa harus bertanggungjawab berbanding mengenakan cukai kepada pelombong ini.”

Kemalangan di lombong buatan sendiri di DRC selalu berlaku dan sering kali membawa padah.

Pada Jun 2019, sekurang-kurangnya 39 lelaki maut apabila sebuah lombong tembaga di Kolwezi, di wilayah tenggara Katanga, separuh runtuh.

Disebabkan banyak lombong sebegini di kawasan terpencil, kemalangan kurang dilaporkan.

DRC mempunyai sejumlah besar rizab emas, kobalt, tembaga dan koltan.

Ia merupakan pengeluar terbesar di dunia bagi kobalt, bahan penting untuk menghasilkan bateri yang digunakan untuk telefon bimbit dan kenderaan elektrik.

Pelombong haram menjual apa yang mereka temui kepada peniaga tempatan, yang menjualnya kepada syarikat besar asing yang sering kali membayar rendah.

Perlombongan kurang memberikan manfaat kepada lebih 80 juta penduduk di DRC.

Bank Dunia menyatakan pada 2018 bahawa 72 peratus populasi hidup dengan pendapatan tidak sampai AS$2 sehari.

Kebanyakan rakyat menampung hidup dengan sektor ekonomi tidak rasmi seperti perlombongan haram.

Menurut kepada satu laporan oleh firma pakar Darton yang berpusat di London, sehingga 16 peratus kobalt yang diekstrak di wilayah Katanga yang kaya dengan bahan mineral itu datangnya dari pelombong haram. — AFP

Advertisement