Anda di sini

Tambadau tamat kekalahan dengan keputusan seri

Advertisement
KURNIAWAN

KOTA KINABALU: Tambadau Sabah hanya menamatkan dua kekalahan berturut-turut dengan keputusan seri 1-1 dengan PJ City FC pada saingan CIMB Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam semalam.

Terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama, pasukan tuan rumah memecahkan kebuntuan untuk mendahului 1-0 menerusi jaringan pemain pertahanan, Elizeu yang menanduk masuk sepakan percuma rakan pada minit ke-53.

Rodoljob Paunovic bagaimana pun menjadi penyelamat apabila menjaringkan gol penyamaan Tambadau pada minit ke-88.

Ketua jurulatih, Kurniawan Dwi Yulianto ketika dihubungi berkata, satu mata yang dikutip itu tetap amat bermakna terutama selepas kalah dua perlawanan berturut-turut sebelum ini.

"Saya juga berterima kasih kepada pemain kerana tetap fokus sehingga permainan tamat. Ada beberapa keputusan yang agak mengecewakan tetapi menganggapnya dalam sepak bola, itu normal," katanya.

Menurutnya, lawan menjaringkan gol ketika pemainnya mengharapkan pengadil perlawanan meniup wisel apabila salah seorang pemain Tambadau Sabah disiku pemain lawan.

Bagaimanapun pengadil meneruskan permainan dan lawan memanfaatkannya untuk menjaringkan gol.

"Tetapi saya tidak menyalahkan pengadil sebaliknya akan menjadikan pengajaran bahawa pemain perlu terus bermain selagi pengadil belum meniup wisel," katanya.

Beliau berkata, Tambadau Sabah juga seharusnya boleh menang perlawanan itu berdasarkan peluang-peluang yang dicipta.

"Kami datang dengan tekad untuk bangkit dari dua kekalahan berturut-turut. Kami dari awal memang yakin boleh menang dan ini terbukti dari semangat juang yang ditunjukkan pemain dan peluang-peluang yang dicipta. Menyudahkan peluang ini juga akan kita beri tekanan dalam persiapan nanti.

"Apa yang menggembirakan saya ialah pemain tetap fokus selepas lawan mendahului dan ini membolehkan kita menyamakan kedudukan. Ini keadaan yang penting untuk kita bawa ke perlawanan-perlawanan berikutnya," kata Kurniawan.

Pada perlawanan itu, pasukan tuan rumah juga mendapat sepakan penalti pada masa kecederaan tetapi penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohim menjadi penyelamat apabila menafikan sepakan Washington Brandao.

Satu mata dari perlawanan itu  tidak mengubah kedudukan Tambadau Sabah di tangga kedua tercorot di kalangan 12 pasukan dalam carta liga tetapi berkongsi jumla kutipan enam mata dengan dua pasukan di atasnya iaitu PJ City dan Felda United serta hanya empat mata di belakang Melaka United, Terengganu, Selangor dan UiTM FC di tangga keempat  hingga ketujuh.

Mendahului carta ialah JDT dengan 19 mata diikuti Kedah (13 mata) dan Perak (11 mata).

Tambadau Sabah akan meneruskan cabaran menentang Kedah juga di tempat lawan pada 19 September.

KEDUDUKAN
P M S K J B MT
1. JDT 7 6 1 0 16 4 19
2. Kedah 7 4 1 2 12 8 13
3. Perak 7 3 2 2 9 12 11
4. Melaka Utd 7 4 1 2 10 6 10
5. Terengganu 7 3 1 3 14 11 10
6. Selangor 7 2 4 1 9 9 10
7. UiTM 7 3 1 3 7 7 10
8. Pahang 7 3 0 4 10 10 9
9. Felda 7 1 3 3 8 11 6
10. PJ City 7 1 3 3 6 10 6
11. Sabah 7 1 3 3 7 12 6
12. PDRM 7 0 2 5 4 12 -1

***PDRM dan Melaka Utd ditolak tiga mata.

  • oleh
  • Advertisement