Anda di sini

Menjinak gelombang ganas bersama Komuniti Peluncur Ombak Langkawi

Advertisement
Kelihatan warga LSC tidak menghiraukan tiupan angin kencang membuatkan ombak besar menghempas pesisir Pantai Tengah, di sini. - Gambar Bernama
Kelihatan warga LSC tidak menghiraukan tiupan angin kencang membuatkan ombak besar menghempas pesisir Pantai Tengah, di sini. - Gambar Bernama

LANGKAWI: 'Menggulung diri' bersama ombak. Itu keterujaan sekumpulan peluncur ketika ombak besar menghempas pesisir Pantai Tengah setiap kali berlaku tiupan angin kencang.

Itu rutin harian warga Komuniti Luncur Ombak Langkawi (LSC), bermula Mei hingga September, tiupan angin kuat Monsun Barat Daya  menghasilkan ombak ‘cantik’ lebih 1.5 meter, sekali gus waktu sesuai untuk mencabar keberanian dan kemahiran meluncur di pantai tersebut.

Pengusaha inap desa, Samsul Hanapi Samsuddin, 35, antara pengasas LSC mengakui tidak ramai yang tahu aktiviti meluncur ombak juga boleh dilakukan di Langkawi, satu lagi pilihan kepada pelbagai aktiviti sukan air sedia ada di pulau peranginan ini.

"Sekitar tahun 2014 apabila melihat keadaan ombak cantik yang sesuai di Pantai Tengah, terus terdetik untuk mencubanya, tambahan rata-rata warga LSC memiliki pengalaman meluncur ombak di beberapa lokasi seperti di Pantai Cherating dan Pulau Tioman, Pahang, Pantai Batu Burok, Terengganu termasuk di luar negara seperti di Bali, Indonesia serta Phuket, Thailand. 

"Bermula hanya kira-kira lima orang sekarang sudah ada hampir 30 orang yang aktif serta berkongsi minat yang sama. Namun begitu kami percaya aktiviti meluncur di Pantai Tengah telah dilakukan lebih awal sebelum komuniti ini diwujudkan kerana kadang kala kami ada nampak peluncur 'otai' turun ke pantai menampilkan bakat mereka," katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Melihat kepada potensi sukan air itu di Langkawi, LSC kini turut menawarkan kelas kepada peluncur yang baru berjinak-jinak dalam aktiviti tersebut, menyaksikannya mendapat sambutan menggalakkan.

"Sambutan amat baik sebagai contoh tahun lepas ramai juga pelancong asing ambil kelas meluncur dengan LSC. Namun tahun ini akibat pandemik COVID-19 jumlah berkurangan, tahun ini peluncur tempatan yang ramai ambil kelas," kata Samsul Hanapi yang berasal dari Bangi, Selangor.

Bagi Onn Kamaruzaman, 28, selain Pantai Tengah, beberapa pantai sekitar seperti di Pantai Chenang juga sesuai untuk aktiviti meluncur ombak.

"Namun aktiviti meluncur ombak ini masih bergantung kepada pasang surut air, ombak serta keadaan angin. Biasanya warga LSC bermain ombak dua sesi sehari, 8 pagi hingga 12 tengah hari serta 4 petang sehingga matahari terbenam. 

"Berkenaan perbezaan, ombak di Langkawi dalam kategori 'beach break' maksudnya banyak pecahan dan ombak tidak panjang seperti di Pantai Cherating. LSC nak komersialkan aktiviti ini kerana Langkawi merupakan satu tempat percutian yang menerima ramai pelancong dari dalam dan luar negara.

“Kita nak aktiviti meluncur ini berpanjangan setiap tahun, apabila (musim) ombak di pantai timur dah habis, peluncur boleh datang ke Langkawi pula, ombak tidaklah begitu cantik seperti di pantai timur atau luar negara tetapi feeling tetap sama, lagipun meluncur ini bagus untuk menambah keyakinan ketika berada di dalam air," katanya yang berasal dari Bangi, Selangor.

Usaha warga komunititi LSC mula menampakkan hasil. Muhammad Syukrizam Abdullah, 26, dari Jengka, Pahang, sanggup datang jauh untuk turut sama merasai keterujaan meluncur ombak di Langkawi.

“Saya pernah meluncur bersama beberapa warga LSC seperti Samsul Hanapi di Pantai Cherating, mereka beritahu di Langkawi aktiviti ini boleh juga dilakukan. Saya akan berada di sini selama dua minggu, dari segi penginapan boleh dapat tempat tinggal dan makanan yang murah, jadi kira berbaloi untuk datang meluncur ombak di Langkawi,” katanya. - Bernama 

Advertisement