Anda di sini

Lagu komposer lagenda Fauzi Marzuki di Immortal Songs malam ini

 Pengacara Ain Edruce bersama kumpulan Masdo. — Gambar ihsan TV3
MALAM INI: Pengacara Ain Edruce bersama kumpulan Masdo. — Gambar ihsan TV3

PENYANYI graduan jurusan muzik, Naim Daniel menggemparkan audien TV3 apabila menggubah semula lagu ‘Sepi Sekuntum Mawar Merah’milik ratu rock negara kepada genre Irama Malaysia, dalam Immortal Songs pada minggu lalu.

Menurut Nielsen Malaysia lebih 3.4 juta penonton menjadi saksi Naim Daniel berjaya memegang rekod tertinggi menandingi Sarah Suhairi, Aman Aziz, Insomniacks, Kaka Azraff dan Naqiu pada malam tersebut.

Pada malam ini, Immortal Songs akan menampilkan komposer lagenda, Fauzi Marzuki bersama enam penyanyi, Luqman Faiz, Kugiran Masdo, Amir Masdi, Fieya Julia, Azmi Saat dan Tajul Ariff yang akan memberi nafas baharu kepada lagu beliau.

Antara lagu yang akan dipersembahkan di Immortal Songs malam ini adalah ‘‌Lagenda’ yang akan dinyanyikan semula oleh Luqman Faiz, ‘Jejaka Idaman’ (Kugiran Masdo), ‘Sepi Sekuntum Mawar Merah’ (Amir Masdi), ‘Di Alam Fana Cinta’ (Fieya Julia), ‘Penghujung Rindu’ (Azmi Saat) dan ‘Pada Syurga di Wajahmu’ (Tajul Ariff).

Bersiaran selama tujuh episod setiap hari Ahad, bermula 30 Ogos jam 9 malam, Immortal Songs membariskan enam orang penyanyi tempatan dan seorang karyawan muzik lagenda di setiap episod.

Keenam-enam penyanyi tersebut dikehendaki untuk mempersembahkan sebuah lagu pilihan mereka (daripada lagu karyawan lagenda episod tersebut) dengan gubahan lagu berbeza.

Ini bermakna, adalah pilihan mereka untuk menukar genre lagu tujuh lagenda tersebut atau menggubah semula muzik lagu pilihan mereka mengikut kreativiti masing-masing.

Di penghujung setiap persembahan penyanyi tersebut, lapan orang juri akan menilai persembahan mereka mengikut gubahan kegemaran mereka.

Markah penyanyi yang diadili juri secara 100% itu akan dijadikan rekod untuk dicabar oleh penyanyi lain. Pemegang rekod tertinggi akan dinobatkan sebagai ‘susunan lagu terbaik’ pada episod tersebut.

Walau bagaimanapun, para penonton di rumah berpeluang untuk mengundi persembahan pilihan mereka melalui laman www.xtra.com.my/immortalsongs pada bila-bila masa bermula 10.30 malam itu sehingga hari Sabtu, minggu berikutnya.

Farm Fresh akan menghadiahkan enam bulan bekalan susu Farm Fresh kepada badan kebajikan pilihan pemenang artis pilihan penonton.

Para penonton hanya berpeluang untuk mengundi sekali dalam satu episod sahaja. Persembahan Pilihan Penonton ini akan diumumkan pada setiap hari Sabtu, minggu berikutnya melalui laman media sosial TV3 Malaysia.

Program ini dihoskan oleh Ain Edruce di pentas utama, serta Amy Mastura dan Fad Bocey di belakang pentas, manakala Ella, Ning Baizura, Datuk Jeffrydin, Datuk Khatijah Ibrahim, Fauziah Latiff, Datuk M. Nasir dan Fauzi Marzuki merupakan karyawan lagenda yang menyertai Immortal Songs ini.

Selain daripada penaja utama, Farm Fresh, Immortal Songs turut mendapat sokongan rakan penaja deodoran Nivea Black & White. Sokongan padu turut diterima daripada rakan digital, xtra.com.my dan Oh! Bulan, serta rakan radio Hot FM.

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan Immortal Songs, setiap hari Ahad, jam 9 malam. Siaran ulangan Immortal Songs ini akan ditayangkan di TV9, pada setiap hari Ahad bermula 5 September, pada jam 9 malam.

Info-info Immortal Songs, ‘Lagu Lama Menyengat Semula’akan dikongsikan melalui rakan digital, xtra.com.my dan Oh! Bulan serta rakan radio Hot FM, juga di laman media sosial rasmi TV3 Malaysia dan Senang Terhibur di Facebook, Instagram dan Twitter.

Advertisement