Anda di sini

Bayangan keluar dari Bundesliga samar

Advertisement
 Alcantara (tengah) berlatih bersama rakan senegaranya menjelang aksi Liga Negara-Negara UEFA di Stadium Alfredo Di Stefano di Madrid, Sepanyol. — Gambar AFP
KOMITED: Alcantara (tengah) berlatih bersama rakan senegaranya menjelang aksi Liga Negara-Negara UEFA di Stadium Alfredo Di Stefano di Madrid, Sepanyol. — Gambar AFP

BERLIN: Pemain tengah Sepanyol, Thiago Alcantara, yang telah dikaitkan dengan Liverpool dan Manchester United, mengambil bahagian dalam sesi latihan penuh pertama di Bayern Munich kelmarin dalam persiapan untuk musim baharu.

Dengan kontrak yang baki setahun lagi, pemain berusia 29 tahun itu telah melengahkan kontrak lanjutan bersama juara Liga Juara-Juara itu selepas dia dikaitkan dengan dua kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) tersebut.

Ketua-ketua kelab berkata pemain tengah itu memberitahu mereka, dia mahukan ‘cabaran baharu’ selepas tujuh tahun di Munich.

Bagaimanapun pada hujung minggu lepas, Alcantara berkata “saya tidak pernah menyatakan saya mahu meninggalkan kelab”.

Juara bertahan Bayern memulakan musim baharu Bundesliga pada Jumaat ini akan datang dengan melayani kunjungan Schalke 04 dan Alcantara adalah seorang daripada beberapa pemain dengan masa depan yang masih belum jelas.

Pemain pertahanan Austria, David Alaba, yang turut berlatih kelmarin, adalah seorang lagi pemain yang melengahkan rundingan bagi kontrak lanjutan.

Pemain berusia 28 tahun itu, satu-satunya produk akademi Bayern dalam barisan kesebelasan utama, dilaporkan mahu kenaikan gaji dengan pendapatan sekitar 20 juta euro (RM96 juta) semusim.

Demikian juga, pemain tengah Javi Martinez, 32, yang akan tamat kontrak pada 2021, telah dikaitkan dengan perpindahan balik ke Sepanyol atau langkah ke China.

Pada Isnin lalu, ketua jurulatih Bayern, Hansi Flick mengakui keadaan yang tidak pasti itu membuat perancangan “tidak begitu mudah”.

Bagaimanapun, selagi dua bintang pilihan utama, Alaba dan Alcantara, berada dalam skuadnya, “saya merancang bersama mereka”.

Bayern sudah pun kehilangan Ivan Perisic, Philippe Coutinho dan Alvaro Odriozola – semuanya dipinjamkan dari kelab lain selama semusim – yang menjadi anggota skuad yang memenangi perlawanan akhir Liga Juara-Juara pada 23 Ogos lepas.

Flick tahu Bayern mesti ‘menggantikan’ kehilangan itu, terutamanya kerana juara Eropah itu bakal menghadapi jadual pembukaan yang sangat sukar.

“Kami memerlukan kualiti yang baik pada keseluruhannya,” tambah Flcik kerana Bayern bakal menentang Sevilla dalam Piala Super UEFA pada 24 September, kemudian Dortmund seminggu kemudian untuk Piala Super Jerman.

Jurulatih berusia 55 tahun itu mahu memuktamadkan skuadnya – “saya harap Oktober adalah awal” – dengan jendela perpindahan yang tutup pada 5 Oktober.

Pengarah sukan Hasan Salihamidzic sedang mencari pemain pertahanan kanan, untuk menggantikan Odriozola, dan seorang lagi pemain sayap untuk menyokong Serge Gnabry, Leroy Sane dan Kingsley Coman.

Flick juga telah menyatakan Sane, yang ditandatangani pada Julai lalu dari Manchester City, mesti memperbaiki permainan pertahanannya. — AFP

Advertisement