Anda di sini

Projek terowong: Lim didakwa lupus tanah kerajaan negeri

Advertisement
 Lim diiringi peguamnya Gobind Singh dan RSN Rayer tiba di Mahkamah Sesyen Butterworth dekat Butterworth bagi menghadapi dua pertuduhan semalam. Turut hadir isterinya Betty Chew dan bapa Lim yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang. — Gambar Bernama
TIBA: Lim diiringi peguamnya Gobind Singh dan RSN Rayer tiba di Mahkamah Sesyen Butterworth dekat Butterworth bagi menghadapi dua pertuduhan semalam. Turut hadir isterinya Betty Chew dan bapa Lim yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang. — Gambar Bernama

BUTTERWORTH: Bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu.

Lim, 60, yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.

“Tidak bersalah tuan,” kata Lim yang hadir ke mahkamah memakai sut lengkap hitam dengan ditemani isteri Betty Chew Gek Cheng dan bapanya Lim Kit Siang.

Mengikut pertuduhan pertama, Lim, didakwa menyebabkan Pendaftar Tanah Pulau Pinang melupuskan harta milik kerajaan negeri Pulau Pinang iaitu, Lot Tanah No. H.S.(D) 18801, No. PT Lot 702 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timor Laut, Pulau Pinang, bernilai RM135,086,094 kepada Syarikat Ewein Zenith Sdn Bhd.

Ahli Parlimen Bagan itu juga dituduh menyebabkan Pendaftar Hakmilik Tanah Pulau Pinang melupuskan Lot Tanah No.H.S.(D) 19318, No. PT Lot 10012 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timor Laut, bernilai RM73,668,986 kepada Syarikat Zenith Urban Development Sdn Bhd.

Lim didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Tingkat 21, KOMTAR di sini, pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

Pendakwaan terhadap Lim dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk mengguna pakai ikat jamin RM1 juta serta dua penjamin terhadap Lim seperti yang ditetapkan dalam kesnya sebelum ini selain membenarkan permohonan pendakwaan untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi dibicarakan bersama tiga pertuduhan lain yang dihadapi Setiausaha Agung DAP itu.

Ahmad Azhari turut menetapkan 12 Okt depan untuk sebutan kedua-dua kes itu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Francine Cheryl Rajendram, sementara Lim diwakili peguam Gobind Singh Deo, Ramkarpal Singh, RSN Rayer dan A. Sivanesan.

Terdahulu, Wan Shaharuddin dalam hujahnya untuk memohon memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, berkata kesemua kes tersebut berkait rapat dan berlaku dalam satu transaksi yang sama.

“Untuk perbicaraan kedua-dua pertuduhan ini, pihak siasatan adalah berpusat di ibu pejabat SPRM di Putrajaya dan oleh kerana ini adalah perbicaraan melibatkan kesalahan komersial (kesalahan rasuah), kebanyakan eksibit yang akan dikemukakan oleh pihak pendakwaan adalah dalam bentuk dokumentari serta kesemua dokumen tersebut berada dalam simpanan pihak siasatan.

“Oleh demikian, untuk keselamatan pengendalian eksibit-eksibit tersebut serta faktor logistik dan demi kepentingan keadilan, justeru perbicaraan perlu dijalankan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur,” katanya menambah saksi-saksi utama pihak pendakwaan turut bermastautin di kawasan Lembah Klang dan kawasan sekitarnya.

Gobind Singh bagaimanapun membantah permohonan itu atas alasan kedua-dua pertuduhan jelas menyebut lokasi tempat kesalahan didakwa dilakukan serta lokasi kedua-dua lot tanah terbabit terletak di Pulau Pinang dan pihak pendakwaan tiada alasan kukuh untuk memindahkan kes itu ke Kuala Lumpur.

Ini merupakan pertuduhan terakhir terhadap Lim yang berkaitan dengan kontroversi projek terowong dasar laut yang menjadi perhatian, sejak beberapa tahun lepas.

Pada 7 Ogos lepas, Lim dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan telah secara rasuah meminta bagi dirinya suatu suapan, iaitu balasan berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh kelak daripada Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

Ia sebagai upah bagi membantu syarikat milik Zarul dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang. Zarul merupakan pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd.

Lim didakwa melakukan kesalahan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini pada Mac 2011.

Pada 10 Ogos lepas pula, Lim mengaku tidak bersalah di  Mahkamah Sesyen Butterworth atas pertuduhan telah menggunakan kedudukan beliau semasa menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima suapan bagi dirinya wang berjumlah RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Zarul Ahmad, yang dilantik bagi melaksanakan projek itu yang bernilai RM6.3 bilion.

Lim dituduh melakukan kesalahan itu di pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town, Pulau Pinang antara Januari 2011 dan Ogos 2017.

Beliau sekali lagi dihadapkan ke mahkamah sama pada 11 Ogos atas pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang dan Pengerusi Lembaga Tawaran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), untuk suapan wang berjumlah RM372,009 bagi isterinya Betty Chew Gek Cheng melalui syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd. — Bernama

Advertisement