Anda di sini

Penjara sehari, denda RM1,000 tawar rasuah RM50

 Le (tengah) dihukum penjara sehari dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Sesyen di Kuantan, semalam selepas mengaku salah menawarkan rasuah berjumlah RM50 kepada anggota polis Isnin lalu. — Gambar Bernama
PADAH : Le (tengah) dihukum penjara sehari dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Sesyen di Kuantan, semalam selepas mengaku salah menawarkan rasuah berjumlah RM50 kepada anggota polis Isnin lalu. — Gambar Bernama

KUANTAN: Seorang pembantu kedai makan warga Vietnam dihukum penjara sehari dan denda RM1,000 selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan menawar rasuah berjumlah RM50 kepada anggota polis, Isnin lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen di sini Mohd Ghazali Mohamad Taib juga memerintahkan tertuduh Le Thi To Nga, 40, dipenjara sebulan, jika gagal menjelaskan denda.

Wanita yang fasih berbahasa Mandarin itu, didakwa menawarkan wang berkenaan kepada Koperal Mohd Zarul Hafiz [email protected] Azar di jalan utama Rompin, kira-kira 116 kilometer dari sini, pada jam 12 tengah hari, 7 September lalu.

Suapan tersebut didakwa sebagai dorongan kepada anggota polis Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin itu tidak mengeluarkan saman terhadap motosikal ditunggang tertuduh yang dikatakan telah melakukan kesalahan trafik.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman terhadapnya diringankan atas alasan hanya memperoleh gaji harian sebanyak RM30.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Siti Sarah Zainal Abiddin. — Bernama

Advertisement