Anda di sini

Guardiola puji pencapaian yang diperoleh De Bruyne

Advertisement
DE BRUYNE
DE BRUYNE

LONDON: Pengurus Manchester City,  Pep Guardiola, memuji pemain tengahnya, Kevin De Bruyne sebagai pemain tengah terbaik di dunia ketika membuat persediaan untuk musim baharu Liga Perdana Inggeris.

De Bruyne dipilih sebagai Pemain Terbaik Persatuan Pemain Profesional (PFA) England minggu ini selepas satu musim cemerlang di mana beliau menyamai rekod liga dengan 20 umpanan gol.

“Beliau pemain yang hebat, salah seorang yang terbaik yang pernah saya latih dalam hidup saya,” kata Guardiola dalam satu dokumentari baharu tentang kerjaya De Bruyne “Made in Belgium”, oleh City TV.

“Sekarang ini, beliau adalah yang terbaik. Ketika ini, di posisi tengah, beliau adalah yang terbaik.”

Bekas kapten City, Vincent Kompany percaya Guardiola adalah jurulatih sempurna untuk De Bruyne.

City memenangi dua kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan empat kejuaraan domestik lain sejak Guardiola tiba di Stadium Etihad pada 2016.

Kompany, yang juga bekas rakan sepasukan De Bruyne dalam skuad kebangsaan Belgium, berkata; “Saya fikir untuk mengeluarkan yang terbaik dari Kevin, anda perlu bermain dengan satu cara tertentu. Anda tidak akan dapat mengeluarkan yang terbaik dari Kevin jika anda tidak mempunyai pasukan dengan pemikiran menyerang dan maksud saya, melakukan serangan dalam semua cara – mengasak dan mengawal bola.

“Jadi, dengan Kevin datang ke City dan bertemu dengan Pep, ia satu gandingan sempurna yang saya fikir tidak akan membuahkan hasil dalam kerjayanya melainkan bekerja dengan Pep.”

De Bruyne, yang menyertai City dari Wolfsburg, setahun sebelum kehadiran Guardiola, juga merasakan gaya permainan pasukan cukup serasi dengan beliau.

Pemain berusia 29 tahun itu sudah menjaringkan 16 gol dalam semua pertandingan musim lepas.

“Bagi saya, gaya permainan adalah sangat penting. Saya suka bermain dengan cara pasukan kami ketika ini.

“Sebagai pemain, anda perlu mencari pasukan atau bermain dengan gaya yang sesuai dengan anda. Pada akhirnya, anda perlu berasa gembira dengan apa yang anda lakukan dan jika anda gembira, ia akan menjadikan anda pemain yang lebih bagus.” — AFP

Advertisement