Anda di sini

Kuching FA buru kemenangan pertama ketika menentang Sarawak United Sabtu ini

Advertisement
Pemain Kuching FA giat menjalani latihan di padang.
Pemain Kuching FA giat menjalani latihan di padang.

KUCHING: Pasukan Kuching FA tetap optimis mampu memburu tiga mata dalam saingan Liga Perdana Malaysia ketika menentang Sarawak United FC di Stadium Negeri, Petra Jaya Sabtu ini. 

Ketua Jurulatih Kuching FA Sharizan Sahari berkata, meskipun keputusan dua perlawanan sebelum ini tidak memihak kepada mereka selepas liga itu disambung semula, namun beliau yakin anak buahnya mampu meraih kemenangan pertama buat pasukan tersebut. 

"Untuk Sabtu ini sememangnya kita mahu mengejar tiga mata penuh yang pertama walaupun keputusan dua perlawanan sebelum ini tidak memihak kepada kita tetapi kita tetap optimis untuk memburu tiga mata," katanya ketika dihubungi, hari ini. 

Malah, tegas Sharizan, dengan beberapa pemain yang telah sembuh dari kecederaan, ia akan memberi impak positif dalam pasukan. 

Jelasnya, antara pemain yang telah sembuh itu, Kapten pasukan Kuching FA, Rafiezan Razali dan Mohamad Hairol Mokhtar. 

Tambahnya, sebelum ini Kuching FA bergelut dengan masalah COVID-19 selepas beberapa pemainnya disahkan positif sekaligus membantutkan sesi latihan pasukan itu dalam membuat persiapan mengharungi baki perlawanan liga tersebut. 

Tegas beliau, tambahan pula Kuching FA tidak mempunyai perlawanan persahabatan yang kompetitif untuk mempersiapkan pasukannya itu. 

"Selepas beberapa perlawanan yang dilalui sebelum ini memberi perkembangan positif dalam sesi latihan yang dijalankan sepanjang minggu ini. 

"Tahap kecergasan pemain juga menampakkan peningkatan yang baik daripada sebelum ini," jelasnya. 

Justeru, beliau berharap perlawanan Sabtu ini Kuching FA mampu mendapat keputusan yang positif. 

  • oleh
  • Advertisement