Anda di sini

Kes projek 'Jiwa Murni' RM800 juta, reman dua 'Datuk' dilanjutkan hingga Ahad ini

Kedua-dua suspek yang berpakaian lokap SPRM serta tangan bergari keluar dari mahkamah selepas tempoh reman mereka dilanjutkan lagi dua hari.- Gambar Roystein Emmor.
Kedua-dua suspek yang berpakaian lokap SPRM serta tangan bergari keluar dari mahkamah selepas tempoh reman mereka dilanjutkan lagi dua hari.- Gambar Roystein Emmor.

KUCHING: Tempoh reman dua pengarah syarikat yang bergelar 'Datuk' dilanjutkan dua hari lagi bagi membantu siasatan lanjut dijalankan berhubung kes rasuah dan tuntutan palsu berkaitan pelaksanaan projek 'Jiwa Murni' naik taraf jalan luar bandar bernilai RM800 juta di Sarawak.

Lanjutan tempoh reman ke atas kedua-dua suspek dibenarkan kerana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memerlukan lebih masa untuk melengkapkan siasatan.

Berikutan itu, tempoh reman kedua-dua suspek, masing-masing berusia 42 dan 44 tahun terbabit akan tamat pada Ahad ini.

Kedua-dua suspek masing-masing diwakili peguam Shankar Ram, Lim Heng Choo dan Wong King Wei serta Albert Tang, Allan Lao, Lidwina Kiew dan Roger Chin.

Difahamkan, SPRM menjalankan siasatan kes itu di bawah Seksyen 16 (b), 17 (a) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Menurut laporan terdahulu, kedua-dua pengarah syarikat tersebut ditahan pegawai SPRM dalam satu operasi khas di sini pada Selasa. 

Mereka merupakan rakan kongsi yang memiliki tiga syarikat yang memonopoli projek berkaitan pembinaan jalan.

“Projek itu menghubungkan beberapa bandar kecil di Sarawak dinamakan ‘Projek Jiwa Murni’ di bawah Kementerian Pertahanan dan ia dianugerahkan kepada syarikat itu dari 2010 hingga 2016.

"Sumber berkata ada antara jalan itu tidak dapat digunakan dan rosak setelah beberapa bulan dibina manakala kawasan yang terlibat adalah Miri, Kapit, Ba’Kelalan, Limbang serta Belaga," kata sumber yang dipetik dalam laporan BERNAMA.

Selain itu, sumber menjelaskan bahawa perkara paling mengejutkan ialah salah satu daripada syarikat yang mendapat projek menaik taraf dan membaik pulih jalan-jalan berkenaan, disyaki dimiliki pengarah syarikat tersebut, yang membina jalan raya berkenaan tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

Sumber berkata seharusnya syarikat-syarikat di bawah kawalan kementerian berkenaan disenarai hitam daripada memperolehi projek atas faktor kegagalan mereka melaksanakan projek terdahulu namun apa yang berlaku ialah mereka diberikan lagi projek dengan menggunakan nama syarikat lain.

Pada Rabu lalu, Mahkamah Majistret menolak permohonan pegawai SPRM untuk mendapatkan perintah reman terhadap seorang peguam yang disiasat berhubung kes rasuah dan tuntutan palsu pelaksanaan 10 projek menaik taraf jalan bernilai RM800 juta di Sarawak.

Majistret Zubaidah Sharkawi membenarkan lelaki berusia dalam lingkungan 40an itu, yang disiasat dalam kes sama, dibebaskan.

Terdahulu, pegawai penyiasat SPRM memohon reman tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 16 (b), 17 (a) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Menurut sumber, suspek dibebaskan berikutan tiada bukti dapat mengaitkannya dengan projek pembinaan jalan tersebut. 

Advertisement