Anda di sini

Bantuan Ihsan Kematian berjumlah RM1.14 juta dibayar kepada waris pemegang KGC

Advertisement
 

KUCHING: Kerajaan Sarawak membayar kira-kira RM1.14 juta kepada 380 pemohon setakat 9 September ini menerusi Bantuan Ihsan Kematian (BIK) - antara bantuan di bawah pemegang Kenyalang Gold Card (KGC).

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah (gambar) yang berkata demikian menambah, bantuan RM3,000 diberi kepada pemegang KGC yang tidak mempunyai bantuan kematian dari agensi atau organisasi seperti pencen, bank dan insurans.

Menurutnya, permohonan BIK mesti dikemukakan oleh waris si mati seperti didaftarkan pada Borang Permohonan KGC, dalam tempoh 90 hari selepas kematian beserta Sijil Kematian dan Kad KGC.

Setakat 9 September, 544 permohonan BIK diterima. Sejumlah 26 permohonan ditolak dan 138 lagi dalam proses. Pembayaran BIK kepada waris mengambil masa antara dua hingga empat minggu.

"Inisiatif ini masih baru dan kita dari masa ke semasa menambahbaik pelaksanaannya menerusi perkhidmatan dalam talian iaitu isarawakcare.  

"Kita mengalu-alukan maklumbalas dan pandangan daripada orang ramai dan kita berjanji kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menjadikan inisiatif ini lebih dekat dengan rakyat kerana kita mahu semua warga emas menerima faedah daripadanya," katanya pada Khamis bagi mengulas kenyataan Naib Pengerusi DAP Sarawak David Wong yang mahu penjelasan mengenai KGC.

Fatimah berkata lagi, sejak dilancarkan Januari 2020, KGC mempunyai 88 rakan strategik seluruh Sarawak.

Usaha untuk menambah bilangan rakan strategik giat dilaksanakan, justeru beliau menggesa lebih ramai sektor swasta dan pusat komersial mendaftar dengan pihaknya.

Setakat ini, 170,783 permohonan KGC diterima. Sejumlah 133,805 kad telah dicetak dan 72,989 kad telah diserahkan kepada pemohon.

KGC merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak membantu warga Sarawak berumur 60 tahun ke atas pada atau selepas 1 Januari 2020.

Pemegang kad ini layak menerima perkhidmatan dan pembelian dengan kadar diskaun ditetapkan rakan strategik KGC.

"Objektif ialah untuk memberi kesejahteraan dan kebajikan kepada warga emas di Sarawak dan mewujudkan masyarakat prihatin," katanya.
 

Advertisement