Anda di sini

Azman hadiri Kursus Instruktur Futsal

Advertisement
AZMAN
AZMAN

KOTA KINABALU: Jurulatih futsal Sabah, Azman Soaibah antara 21 jurulatih yang akan menghadiri Kursus Futsal Train The Trainer (Kursus Instruktur) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) 2020.

Kursus anjuran FAM itu akan diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor pada 14-20 September.

Peserta lain terdiri dari jurulatih futsal persatuan bola sepak negeri-negeri, persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Persatuan Bola Sepak Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia, Persatuan Bola Sepak Cina Malaysia, Majlis Sukan India Malaysia dan Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia.

"Kami akan melapor diri di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Ahad ini (13 September)," kata Azman yang juga wakil tunggal Sabah menyertai kursus itu ketika dihubungi kelmarin.

Kursus selama seminggu itu akan dikendalikan Ketua Teknikal dan Jabatan Futsal Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Ali Targholizadeh selaku instruktur utama dan dibantu Pengarah Teknikal Futsal Malaysia, Chiew Chun Yong yang juga Instruktur Elit Futsal AFC.

Azman yang juga bekas pemain futsal Sabah berkata, kursus itu antara aset yang akan dimanfaatkannya untuk menyumbang kemajuan sukan futsal negeri ini.

Azman yang juga Pegawai Belia dan Sukan Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS) ialah pemain futsal Sabah pada 2004-2009 dengan pencapaian terbaik, muncul juara kumpulan dan layak ke grand final Liga Futsal Kebangsaan pada musim 2008-2009.

Memiliki Sarjana Muda Sains Sukan UMS, Azman kemudian beralih kepada bidang kejurulatihan dan menggalas tugas jurulatih futsal Sabah dalam Liga Futsal Kebangsaan pada 2010-2018.

Azman juga memiliki Sijil Kejurulatihan Futsal Tahap 2 AFC dan pernah menjawat tugas penolong jurulatih skuad futsal wanita kebangsaan ke Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur serta membantu skuad wanita UMS muncul tempat ketiga pada Kejohanan Futsal Jemputan Antarabangsa Universiti Taiwan, tahun lalu.

  • oleh
  • Advertisement