Anda di sini

Atlet sukan lasak Sabah dapat pengiktirafan

Advertisement
 Benazir Japiril (kiri) dan Donald Stephens mewakili SATRA menerima insentif di Kota Kinabalu baru-baru ini.
DIIKTIRAF: Benazir Japiril (kiri) dan Donald Stephens mewakili SATRA menerima insentif di Kota Kinabalu baru-baru ini.

KOTA KINABALU: Sembilan atlet sukan lasak Sabah yang cemerlang mendapat pengiktirafan Kerajaan Negeri Sabah apabila disenaraikan sebagai penerima skim insentif berjumlah RM27,400.

Atlet itu ialah Milton Amat, Safrey Sumping, Daved Simpat, Sapirin Sumping, Wilson Singgin, Guianus Salagan, Kona Liau, Adelinah Litangah dan Mailin Salungin.

Presiden Persatuan Larian Berhalangan Negeri Sabah (SATRA), Prof Dr Helen Benedict Lasimbang berkata,  atlet itu telah bertanding di peringkat kebangsaan dan antarabangsa sepanjang tahun lalu termasuk yang melibatkan jarak sejauh 230km di seluruh negara dan Asia Tenggara seperti Brunei, Indonesia, Thailand dan Laos.

Helen berkata, mereka terpilih sebagai penerima insentif berdasarkan pencapaian menduduki tiga tempat teratas dalam kejohanan-kejohanan yang disertai.

"Kami gembira kerana Kerajaan Negeri meingiktiraf larian berhalangan sebagai sukan yang telah mendapat populariti luar biasa di negara ini terutamanya di Sabah. Kita memiliki atlet lasak berprestasi tinggi yang telah bersaing dengan atlet terbaik rantau ini dan telah memberikan nama baik kepada kita semua.

"Boleh saya katakan, pesaing mereka tahu bahawa atlet kita ini ada kemampuan dan perlu diberi perhatian dalam setiap pertandingan," kata Helen dalam kenyataannya semalam.

Majlis Penyampaian Skim Insentif Kemenangan Atlet Sabah 2019 itu telah diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) dan disampaikan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal awal minggu ini.

SATRA yang sudah tahun ketiga beroperasi telah mempelopori forum untuk menetapkan garis panduan Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk Larian Berhalangan di Sabah dalam tempoh pandemik ini.

Dengan kerjasama penganjur lain perlumbaan larian berhalangan di Sabah, SOP telah dibuat berdasarkan panduan dari organisasi antarabangsa, International Trail Running Association (ITRA).

SATRA juga telah mengendalikan konvensyen pelari yang julung kali di Malaysia dengan kerjasama Fakulti Sains Sukan Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada tahun 2019.

  • oleh
  • Advertisement