Anda di sini

Atlet Boccia para Sarawak giat jalani latihan, siap sedia hadapi SUKMA Johor

Advertisement
Honseng (belakang, tiga kiri) ditemani ahli keluarga atlet Boccia para SUKMA sedia harumkan nama Sarawak.
Honseng (belakang, tiga kiri) ditemani ahli keluarga atlet Boccia para SUKMA sedia harumkan nama Sarawak.

KUCHING: Atlet Boccia para Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak kini giat menjalani latihan bagi persiapan menghadapi temasya sukan itu di Johor yang dijadualkan berlangsung dari 5 hingga 10 April tahun hadapan. 

Timbalan Presiden Persatuan Boccia Sarawak Honseng Andrias Nyawin berkata, sesi latihan diadakan di Dewan Serbaguna Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sarawak yang bermula sejak Selasa lalu. 

"Sebelum ini, atlet Boccia para SUKMA Sarawak hanya menjalani latihan di kediaman masing-masing. 

"Namun selepas kebenaran daripada Majlis Sukan Negeri dan pihak berkuasa lain, kita dapat menjalankan latihan di lapangan bersama," katanya ketika ditemui pemberita di Dewan Serbaguna Kompleks Belia dan Sukan di sini, semalam. 

Honseng
Honseng

Jelasnya, menerusi latihan di lapangan secara bersama, perkembangan atlet-atlet Boccia para dapat dipantau. 

"Kalau sebelum ini latihan di rumah kita sukar untuk mengukur perkembangan mereka tetapi sekarang kita dapat lihat prestasi mereka bertambah baik," tegas Honseng sambil menambah beliau optimis anak buahnya mampu menyumbang pingat buat Sarawak dalam temasya sukan itu nanti.

Tambahnya lagi, meskipun ia kali pertama buat pasukan itu menyertai Para SUKMA, pihaknya yakin dengan barisan atlet Boccia yang ada. 

"Sasaran untuk Para SUKMA Johor kali ini adalah satu pingat untuk acara persendirian dan satu pingat untuk acara berpasukan.

"Sukan Boccia Sarawak masih baharu yang mana ia merupakan kali pertama Sarawak menghantar pasukan menyertai Para SUKMA," katanya. 

Menurut Honseng, pihaknya sudah mempunyai barisan atlet Boccia Sarawak untuk Para SUKMA Johor.

Mereka, Angeline Melissa Lawas, Nur Aisyah Madzelan, Willyien Cliff Honseng, Dale Adelric Ter, Carlo Jay Chai Ping Yuan, Jeremy Lester Peter, Jervis Chi Hong Zhe dan Sheirviana Mathew.

"Kesemua atlet Boccia para SUKMA ini nanti akan berkampung di sini sebulan sebelum bermulanya temasya sukan tersebut untuk persiapan akhir mereka," ujarnya. 

  • oleh
  • Advertisement