Anda di sini

AirAsia gabung penyelesaian media di bawah AirAsia Media Group

 

KUALA LUMPUR: AirAsia menggabungkan perkhidmatan penyelesaian media merangkumi teknologi iklan, kandungan dan media di bawah AirAsia Media Group.

Ia menawarkan penyelesaian pemasaran yang unik, menggabungkan teknologi iklan dan data serta saluran kandungan dan penerbitan yang menumpukan kepada pelancong dan budaya pop di ASEAN.

“Sebagai cabang media, AirAsia Media Group akan memainkan peranan penting dalam usaha membangunkan seluruh ekosistem gaya hidup AirAsia,” menurut syarikat penerbangan itu dalam kenyataan, hari ini.

Dengan memanfaatkan rangkaian aset media pelbagai saluran AirAsia yang luas dan pangkalan data yang besar, AirAsia Media Group dapat berhubung dengan para pengguna di setiap saluran dan menawarkan penyelesaian media kepada jenama lain, melalui platform teknologi iklan atau perkhidmatan pengurusannya.

Bagi mengukuhkan tawaran dalam budaya pop, AirAsia Media Group telah menjalin kerjasama strategik dengan Universal Music Group (UMG).

Inisiatif daripada kerjasama ini adalah Red Records, sebuah label rakaman unik dengan UMG, yang akan melancarkan single pertama artis Thailand-Jerman Janine Weigel, “Passcode” yang dihasilkan oleh Tommy Brown, penerbit rakaman yang dicalonkan oleh anugerah Grammy.

Inisiatif lain termasuklah RedCarpet, tawaran bakat, media dan produksi menyeluruh, yang telah melancarkan kempen pertama menampilkan video perjalanan bersama artis Malaysia, Alvin Chong.

Penubuhan AirAsia Media Group juga selaras dengan strategi transformasi digital AirAsia dan akan menjadikannya sebagai pemacu untuk menggerakkan, mengedarkan dan menyatukan aset iklan semua syarikat di bawah kumpulan AirAsia, selain menawarkan perkhidmatan menyeluruh kepada para pemasar dari dalam talian ke penerbangan hingga ke destinasi yang dituju. - Bernama.
 

Advertisement