Anda di sini

Ujian vaksin COVID-19 ditangguh

Advertisement
 Gambar fail 20 Mac lalu menunjukkan Pengarah Penemuan Antibodi dan Pembangunan Vaksin Dr. Nita Patel menunjukkan bebuli mengandungi vaksin COVID-19 di makmal Novavax di Gaithersburg, Maryland.
UJIAN KLINIKAL: Gambar fail 20 Mac lalu menunjukkan Pengarah Penemuan Antibodi dan Pembangunan Vaksin Dr. Nita Patel menunjukkan bebuli mengandungi vaksin COVID-19 di makmal Novavax di Gaithersburg, Maryland.

LONDON: Kajian klinikal ke atas salah satu vaksin ujian termaju COVID-19 yang sedang diusahakan syarikat farmaseutikal AstraZeneca dan Universiti Oxford, ditangguhkan kelmarin selepas seorang sukarelawan mengalami penyakit yang tidak dapat dijelaskan.

Dengan berbilion manusia di seluruh dunia masih mengalami kesan buruk pandemik dan bilangan kematian global menghampiri 900,000, perlumbaan di seluruh dunia untuk mendapatkan vaksin melibatkan sembilan syarikat yang sudah pun dalam ujian peringkat akhir fasa 3.

CEO sembilan syarikat yang membangunkan vaksin COVID-19 itu kelmarin berikrar untuk mempertahankan integriti proses saintifik di sebalik kebimbangan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump akan menekan pemantau undang-undang untuk meluluskan vaksin menjelang pilihan raya presiden pada November.

“Kami, syarikat biofarmaseutikal yang tersebut di bawah, mahu menjelaskan komitmen berterusan kami dalam membangunkan dan menguji vaksin berpotensi untuk COVID-19 selaras dengan standard etika yang tinggi dan prinsip saintifik yang jelas,” menurut kenyataan mereka.

Kenyataan itu ditandatangani AstraZeneca, BioNTech, GlaxoSmithKline, Johnson & Johnson, Merck, Moderna, Novavax, Pfizer and Sanofi.

Setakat ini jumlah jangkitan di seluruh dunia kini melebihi 27 juta dan lebih 890,000 kematian dicatatkan.

Rusia sudah meluluskan satu vaksin dan penyelidikan terbitan jurnal perubatan The Lancet minggu lepas menyatakan pesakit yang terlibat dalam saringan awal membentuk antibodi tanpa sebarang kejadian buruk yang serius, tetapi saintis memberi amaran kajian terlalu kecil.

Jurucakap vaksin AstraZeneca dalam kenyataan kelmarin berkata, ujian vaksinasi ditangguhkan untuk membolehkan data keselamatan diteliti semula jawatankuasa bebas.

“Ini adalah tindakan rutin yang perlu diambil setiap kali penyakit berpotensi yang tidak dapat dijelaskan berlaku dalam salah satu ujian, sementara ia disiasat bagi memastikan kita memelihara integriti ujian.”

Syarikat itu berkata, dalam uji kaji besar penyakit kadang-kadang berlaku secara kebetulan tetapi mesti diteliti semula secara bebas.

AstraZeneca tidak memberi maklumat lanjut tetapi laman berita perubatan Stat News, yang pertama sekali melaporkan penyakit sukarelawan berkenaan, memetik sumber sebagai berkata ia melibatkan reaksi buruk yang serius terhadap vaksin terbabit.

“Sementara ini ternyata bukan berita baik, perlu diingatkan bahawa menyiasat reaksi buruk sepenuhnya adalah sebahagian daripada kajian berskala besar dan amat perlu untuk memastikan kepercayaan terhadap mana-mana vaksin.

“Bagaimanapun ini bermakna hasil akan tertangguh,” Bill Hanage, pakar kajian wabak Harvard, menulis dalam Twitter.

Menurut Stat News, sukarelawan yang sakit itu kemungkinan besar mengambil bahagian dalam ujian fasa 2/3 yang berpangkalan di United Kingdom.

Sementara itu, China mempamerkan vaksin buatan tempatan buat pertama kalinya pada pesta dagangan Beijing minggu ini dan pihak berkuasa berharap suntikan itu akan diluluskan untuk penggunaan pada hujung tahun ini.

Vaksin tersebut antara beberapa vaksin yang sudah memasuki ujian fasa 3.

Di seluruh Eropah, kebimbangan timbul tentang peningkatan semula virus berkenaan, dan Perancis telah memperketatkan sekatan, kes melonjak di Britain, namun sekolah dibuka semula di sekitar rantau tersebut.

Bagaimanapun di China, virus itu hampir sudah dihapuskan menerusi penutupan dan sekatan pergerakan awal tahun ini yang menyaksikan pegawai kerajaan memuji negara mereka sebagai kisah kejayaan menentang COVID-19.

Para pemimpin China mengadakan upacara kemenangan untuk meraikan kejayaan menewaskan COVID-19 kelmarin, di mana Presiden Xi Jinping menyatakan China sudah melepasi ujian bersejarah yang luar biasa pada majlis penyampaian anugerah kepada golongan profesional perubatan.

Jentera propaganda negara cuba menggunakan naratif berhubung pandemik sekarang, dengan merangka semula episod itu sebagai contoh ketangkasan dan pengurusan kepimpinan komunis.

India meneruskan keputusan untuk membuka semula negara walaupun sudah mengatasi Brazil pada Isnin lepas sebagai negara kedua paling dijangkiti di dunia dengan lebih 4.2 juta kes.

Kereta api bawah tanah menyambung semula operasi awal minggu ini dan pegawai kerajaan berkata pusat tarikan pelancong utama Taj Mahal akan dibuka semula pada 21 September.

Afrika Selatan mengumumkan ekonominya mengecut lebih separuh dalam suku kedua apabila pandemik meninggalkan kesan buruk ke atas negara paling maju di Afrika itu.

Amerika Latin dan rantau Caribbean melebihi 300,000 kematian, jumlah kes di Argentina melepasi setengah juta, manakala di Peru, yang mencatatkan kadar kematian perkapita tertinggi di dunia, meningkat kepada lebih 30,000.

Negara-negara di Eropah mengalami kesan buruk berprofil tinggi dalam arena sukan dan politik kelmarin.

Pengarah Tour de France Christian Prudhomme didapati positif penyakit itu, mendorong Perdana Menteri Perancis Jean Castex untuk menjalani saringan, kata pegawai, selepas mereka menaiki kereta yang sama untuk mengikuti peringkat acara lumba basikal.

Pasukan bola sepak Perancis terpaksa turun padang menentang Croatia kelmarin tanpa penyerang bintang Kylian Mbappe yang didapati positif.

Kejohanan tenis Terbuka Perancis menerima tamparan selepas pemain wanita nombor satu dunia dan juara bertahan Ashleigh Barty mengumumkan beliau tidak akan mengambil bahagian.

Dalam dunia politik, salah seorang tokoh paling terkemuka di Eropah pada zaman moden, bekas perdana menteri Itali Silvio Berlusconi masih terlantar di hospital akibat dijangkiti virus itu.

“Semua parameter yang dipantau adalah bagus,” kata Alberto Zangrillo, yang menambah keadaan perubatan Berlusconi mengalami evolusi yang sentiasa baik. — AFP

Advertisement