Anda di sini

Pelajar di Miri bakal nikmati perkhidmatan bas sekolah percuma

Advertisement
Lee (dua kanan) berbincang bersama Azmi (kanan) serta yang lain semasa majlis perjumpaan bersama Pengetua dan Guru Besar mengenai perkhidmatan bas sekolah percuma di sini, hari ini.
Lee (dua kanan) berbincang bersama Azmi (kanan) serta yang lain semasa majlis perjumpaan bersama Pengetua dan Guru Besar mengenai perkhidmatan bas sekolah percuma, hari ini.

KUCHING: Inisiatif perkhidmatan bas sekolah percuma yang seterusnya dijangka diperluaskan di Miri bagi memenuhi keperluan perkhidmatan berkenaan.

Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin berkata, kementerian beliau bersama Yayasan Sarawak, iaitu pelaksana kini dalam kajian untuk mendapatkan data sebelum ia dilaksanakan di bandar raya itu.

"Kita dalam proses membuat kajian dan Yayasan Sarawak akan turun ke Miri bersama pegawai kementerian.

"Kita akan memilih satu kawasan sebagai fasa pertama atau projek perintis di Miri dan kita akan meneliti kawasan yang memang ada keperluan seperti di rumah kos rendah, penempatan semula dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Menteri Pengangkutan bersama Pengetua dan Guru Besar mengenai perkhidmatan Bas Sekolah Percuma di Yayasan Sarawak di sini, hari ini.

Lee berkata, sebagai permulaan Yayasan Sarawak dan kementerian akan turun ke lapangan selain bekerjasama dengan persatuan pengusaha bas sekolah di Miri.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau memberitahu, program perkhidmatan bas sekolah percuma yang kini sudah memasuki hari ke-12 pelaksanaannya di bandar raya Kuching, akan dijadikan contoh kepada pelaksanaan di bandar lain.

"Kita mahu jadikan inisiatif di Kuching ini sebagai model kepada bandar lain nanti termasuk di Miri yang akan menggunakan model sama.

"Pada masa yang sama kami amat memerlukan kerjasama erat serta maklum balas dari semua pihak khasnya pihak sekolah untuk memberikan data.

"Ia bagi membolehkan kita dapat merancang pelaksanaan ini dengan lebih lancar dan cekap pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata, memandangkan program perkhidmatan bas itu adalah baharu diperkenalkan dan ia mungkin mempunyai kelemahan yang perlu dipertingkatkan lagi dari beberapa aspek.

Lee menegaskan apa yang penting adalah lebih ramai ibu bapa serta pelajar yang mendapat manfaat daripada kerajaan itu yang akan mengurangkan bebanan mereka.

"Ini kerana tujuan utama kerajaan negeri memperkenalkan program ini adalah pertamanya untuk mengurangkan beban ibu bapa yang mempunyai ramai anak memerlukan bas sekolah, keduanya menggalakan anak-anak kita ke sekolah terutama keluarga berpendapatan rendah.

"Maka itu kita amat berharap perkhidmatan ini akan mendapat lebih ramai golongan sasaran dan ibu bapa yakin dengan perkhidmatan sekolah bas percuma yang kita laksanakan," katanya.

Lee berkata, melihat kepada perkembangan terkini, iaitu selama 12 hari pelaksanaan program di bandar raya Kuching, ia telah menunjukkan sambutan memberangsangkan.

"Kita menerima senarai lebih kurang 30 buah sekolah lagi di sini, yang memohon agar perkhidmatan ini ke sekolah mereka dan saya akan memberikan ia kepada Yayasan Sarawak untuk dipertimbangkan," katanya.

Hadir sama majlis Pengarah Yayasan Sarawak Azmi Bujang dan Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Buckland Bangik.

  • oleh
  • Advertisement