Anda di sini

Lima individu terlibat pergaduhan ditangkap

Advertisement
 Aksi pergaduhan yang tular di media sosial.
AKIBAT MABUK: Aksi pergaduhan yang tular di media sosial.

SIBU: Lima individu termasuk seorang wanita yang dipercayai terbabit dalam satu pergaduhan sehingga menyebabkan kecederaan parah di hadapan sebuah rumah di Jalan Tong Sang, di sini ditahan petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, tangkapan dibuat susulan laporan polis oleh orang awam.

“Kejadian berlaku apabila dua daripada lima suspek bertengkar dan cuba dileraikan seorang lagi tetapi dipukul sebelum tercetus pergelutan antara mereka,” katanya ketika dihubungi semalam.

Katanya, pihak polis yang menerima aduan orang ramai bergegas ke lokasi kejadian pada jam 4.55 petang dan mendapati dua lelaki terbaring di jalan namun kemudian dibawa ke Hospital Sibu.

Katanya, kesemua suspek berusia antara 13 hingga 27 tahun telah ditangkap termasuk dua lelaki yang dihantar ke hospital.

“Siasatan awal polis mendapati kesemua suspek berada dalam keadaan mabuk selepas mereka minum arak jenis langkau,” jelasnya.

Katanya, barang kes sebatang kayu yang dipercayai digunakan dalam pergaduhan itu turut dirampas.

“Kesemua suspek direman selama empat hari sehingga 12 September ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” tambahnya.

Advertisement