Anda di sini

Haruan makan anak dipenjara 40 tahun, 22 sebatan

Tertuduh (dua kanan) diiringi polis di lobi Kompleks Mahkamah Kuching, hari ini.
Tertuduh (dua kiri) diiringi polis di lobi Kompleks Mahkamah Kuching, hari ini.

KUCHING: Perbuatan seorang lelaki yang melakukan sumbang mahram, amang seksual, dan seks luar tabii terhadap anak tiri perempuannya yang berusia 11 tahun membawa padah apabila dia dipenjara 40 tahun dan dikenakan 22 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini. 

Tertuduh yang berusia 41 tahun itu kelihatan tenang sejurus mendengar hukuman dijatuhkan terhadapnya oleh Hakim Jason Juga. 

Bapa kepada empat orang anak itu didakwa atas lima pertuduhan, dua daripadanya adalah di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa. 

Satu pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan kerana melakukan sumbang mahram manakala selebihnya dibuat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana melakukan seks luar tabii terhadap mangsa yang sama. 

Tertuduh yang bekerja di sebuah kilang di sini, mengaku bersalah atas kesemua pertuduhan. 

Mengikut pertuduhan pertama, kedua dan ketiga, dia didakwa melakukan seks luar tabii dengan memasukkan kemaluannya ke dalam mulut mangsa tanpa kerelaan mangsa dalam dua kejadian berasingan, selain didakwa melakukan sumbang mahram terhadap mangsa. 

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukannya secara berasingan iaitu pada tahun 2018 dan 2019, dua daripadanya dilakukan dalam kejadian jam 7.30 malam manakala satu lagi pada jam 5 petang. 

Ia membabitkan beberapa tempat seperti di sebuah rumah pekerja di Jalan Joon Onn, off Jalan Mohd Musa yang terletak di Kota Samarahan dan di dalam sebuah kereta yang diletakkan berhampiran rumah pekerja tersebut. 

Bagi pertuduhan di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 pula, dia didakwa menyentuh payudara mangsa menggunakan tangan, selain menyentuh kemaluan mangsa menggunakan kemaluannya. 

Perbuatan itu didakwa dilakukannya pada jam 7 petang, antara Januari hingga Disember 2019, juga di rumah pekerja tersebut.

Di tempat yang sama juga, tertuduh sekali lagi melakukan seksual fizikal terhadap mangsa dengan menyentuh payudara dan menjilat kemaluan mangsa pada Mei lalu. 

Tertuduh dalam rayuan pengurangan hukumannya memohon agar hukuman penjara berjalan serentak dengan alasan dia menyesali perbuatannya serta berjanji tidak mengulanginya. 

Tertuduh turut memaklumkan mahkamah yang dia merupakan satu-satunya pencari nafkah dalam keluarga. 

Namun pihak pendakwaan, Timbalan Pendakwa Raya Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan memohon agar tertuduh dikenakan hukuman setimpal atas perbuatannya.

Jelas Nurfadzlin, kesalahan yang dilakukan adalah serius yang melibatkan kanak-kanak berumur bawah 12 tahun dan akan meninggalkan trauma sepanjang hayat terhadap mangsa.

Justeru, bagi empat pertuduhan yang melibatkan kesalahan seks luar tabii dan amang seksual, Hakim Jason menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dengan tiga sebatan bagi setiap tuduhan. 

Manakala bagi kesalahan sumbang mahram, dia dijatuhi hukuman penjara 16 tahun dan dikenakan sepuluh sebatan. 

"Hukuman penjara diarahkan berjalan secara berturutan mulai tarikh tertuduh ditangkap, pada 5 Ogos lalu. 

"Tertuduh juga diperintahkan untuk menjalani kaunseling pemulihan semasa tahanan dan pengawasan polis selama setahun sebaik selesai hukuman penjara," ujar Jason semasa menjatuhkan hukum. 

Tertuduh tidak diwakili peguam.

Advertisement